Pilih Bahasa

Akta Profesion Kerja Sosial iktiraf bidang kerja sosial di Malaysia

KOTA KINABALU: Akta Profesion Kerja Sosial yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini memberi pengiktirafan yang tinggi kepada bidang kerja sosial di Malaysia, menurut seorang pakar.

Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Peter Voo berkata langkah tersebut dijangka menyaksikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mewujudkan akta tersebut.

Dr Peter Voo. Gambar SNT/Ihsan UMS

Katanya dengan kewujudan akta tersebut bukan sahaja mengiktiraf program kerja sosial yang sama seperti kumpulan peguam dan doktor, malah turut membuka peluang kepada graduan kerja sosial untuk mengisi keperluan terhadap perkhidmatan kerja sosial.

“Akta ini sememangnya wajar kerana bidang dan perkhidmatan kerja sosial amat penting dalam menangani cabaran dan permasalahan sosial dalam masyarakat yang semakin meruncing, dan langkah ini adalah satu perkembangan yang baik memandangkan program kerja sosial sememangnya sudah terkenal di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

“Universiti awam seperti UMS juga bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengisi keperluan sumber manusia dalam bidang kerja sosial kerana saban tahun UMS melahirkan graduan mahir dan terlatih dalam bidang ini,” katanya.

Dr Voo menambah di UMS, program Kerja Sosial telah wujud sejak tahun 2004 dan telah melahirkan lebih 900 orang graduan terlatih dalam bidang kerja sosial dan ramai dari graduan bidang kerja sosial UMS kini telah berkhidmat di hospital kerajaan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pekerja sosial.

“Pendidikan dan latihan dalam bidang kerja sosial di institusi pendidikan tinggi yang menawarkan program kerja sosial adalah bersesuaian dan memenuhi piawaian pendidikan dan latihan kerja sosial serta berkebolehan memberikan perkhidmatan dan intervensi kepada golongan sasar individu, kumpulan dan komuniti yang berhadapan dengan masalah sosial,” katanya.

Melalui pembentangan akta tersebut, Dr Voo berharap kerajaan melalui agensi Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberi pengiktirafan kepada pelajar lulusan program kerja sosial dalam memberi keutamaan untuk diambil bekerja di jabatan kerajaan yang memberikan khidmat sosial dan kebajikan sosial.

“Agensi seperti JKM, Jabatan Pembangunan Wanita, dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara diharap dapat menyokong usaha ini memandangkan graduan program kerja sosial ini memang dilatih khusus mengembalikan kesejahteraan sosial masyarakat,” ujar beliau.-SabahNewsToday