Pilih Bahasa

Aktiviti pelancongan hijau, mampan ditingkatkan di Hilir Kinabatangan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan di Hilir Kinabatangan untuk membincangkan berkenaan aktiviti pelancongan mampan mempromosikan pelancongan hijau sekaligus melindungi hidupan liar di kawasan tersebut.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata usaha tersebut dilakukan bagi mencari penyelesaian beberapa cabaran yang dihadapi dalam industri pelancongan Hilir Kinabatangan termasuklah pengusaha pelancongan di kawasan itu.

Christina (lima kanan) menerima cendera kenangan daripada Alexander selepas kunjungan hormat berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Jelasnya pada Disember 2015, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kinabatangan (Kita) serta kerajaan negeri melalui Jabatan Hidupan Liar (JHL) sebagai usaha mempromosi pelancongan mampan.

“Di Hilir Kinabatangan, kita mempunyai lebih daripada 20 pengusaha pelancongan, namun hanya sembilan sahaja yang berdaftar menjadi ahli dengan Kita.

“Pengusaha pelancongan yang lain menolak untuk bersama-sama dengan Kita untuk memajukan industri pelancongan Hilir Kinabatangan melalui projek Pelancongan Hijau yang mampu melindungi hidupan liar di sana.

“Apabila mereka bukan sebahagian daripada Kita, mereka bebas melakukan apa yang mereka mahu lakukan. Jika mereka menjalankan inap desa di rumah mereka, kami tidak terlibat. Tiada peraturan, jadi ia tidak baik. Ia mungkin menjejaskan pelancongan di sana, sesuatu mungkin berlaku,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kita, Alexander Yee berkata mereka (persatuan) berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menguruskan sektor pelancongan di Hilir Kinabatangan.

“Persatuan ini sudah berusia 10 tahun, tetapi masih ramai pengusaha yang tidak bersama-sama Kita di sepanjang sungai ini. Oleh itu, apabila kita melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti JHL, kita tidak dapat dapat menguatkuasakan peraturan atau amalan tertentu dalam sektor pelancongan kerana tidak semua mereka berdaftar.

“Perbincangan ini dengan menteri adalah untuk mencari jalan untuk memastikan semua pengendali yang beroperasi di sepanjang sungai akan menjadi ahli Kita dan kita semua boleh bekerja untuk mengawal selia aktiviti pelancongan di Hilir Kinabatangan serta menjadikan ia destinasi pelancongan yang mampan,” jelasnya.

Menjawab berkenaan kepentingan MoU pada 2015 itu, beliau menjelaskan bahawa ia adalah untuk pengurusan aktiviti pelancongan di sepanjang sungai dan namun selepas MoU itu dicapai, mereka mendapati terdapat banyak cabaran dihadapi.

“Kita cuba menguruskan semuanya di sini, tetapi pelbagai cabaran dilalui oleh kami dan sudah tiba masanya untuk memperbaharui MoU ini.

“Hilir Kinabatangan dikenali kerana hidupan liarnya. Terdapat lebih 250 spesies hidupan liar di situ dan menjadi tarikan pelancong. Namun, tanpa pengurusan yang betul, saya tidak fikir tempat itu akan dapat menampung pelancong yang datang kelak.

“Selain itu, keselamatan pelancong juga perlu dititikberatkan ketika mereka menyusuri di sepanjang sungai, mereka bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri, tetapi jika anda mengalami kemalangan di kawasan itu,” katanya.

Beliau juga mengatakan bahawa salah satu sebab sesetengah pengusaha pelancongan enggan menjadi ahli adalah kerana mereka perlu menyalurkan RM5 daripada setiap pelanggan yang mereka terima.

“Itu bukan jumlah yang besar kerana harga pakej pelancongan sekitar RM200 hingga RM300 setiap malam.

“Dan bayaran tidak perlu dibayar mengikut jumlah hari pelancong berada di situ tetapi hanya RM5 sekali sahaja,” katanya. -SabahNewsToday