Pilih Bahasa

Albona dinobat Johan MGM Pesta Magahau Zon Pitas 2019

Oleh Sabah News Today

Pemenang MGM Pesta Magahau Zon Pitas 2019, Albona (tengah) diapit oleh Genevie (kiri) dan Noratika Manalis (Kanan). – Gambar SNT/Ihsan MGM Pesta Magahau

PITAS: Albona Gambar muncul sebagai Gimpuhut atau Johan Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM) sempena Pesta Magahau Zon Pitas 2019 yang diadakan di Dewan Komuniti Mabahan Kampung Bongkol Pitas, semalam.

Sementara itu, Genevie Chiew dan Noratika Manalis yang mewakili Pitas dan Kanibongan masing-masing muncul sebagai naib johan dan tempat ketiga manakala Cerry Ezia Julain pula  dinobatkan sebagai Miss Popular bagi Zon Pitas selepas mendapat undian terbanyak.

Bagi pertandingan Mitarab Mindolongoi (Monurizak), johan dimenangi oleh Ezra Sopedy dan Revelin Masaban dan Raymon Rajak masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Johan Monurizak (pertandingan nyanyian) Ezra(tengah) bersama Revelin (kanan) dan Raymon (kiri) menerima hadiah masing-masing dalam pertandingan itu. – Gambar SNT/Ihsan MGM Pesta Magahau

Majlis itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banggi, Mohammad Mohamarin.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Jose Modsinupu; Presiden Pisaan Pitas, Richad Mazagi; Pegawai Pembangunan Masyarakat Pitas, Madusi Mangabun dan Pengerusi MGM Induk Pesta Magahau 2019, Ruhini Andong.

Mohammad (tengah) memukul gong sebagai simbolik perasmian Pesta Magahau Zon Pitas 2019. – Gambar SNT/Ihsan MGM Pesta Magahau

Selain acara MGM dan Monurizak, sambutan kali ini juga menyaksikan pengenalan acara baharu iaitu Pertandingan Rekaan Sundatang bermotif rekaan Rungus dan pertandingan Monundatang (bermain Sundatang).

Selain Zon Pitas , terdapat tiga  zon lagi yang  akan mengadakan sambutan Pesta Magahau tahun ini.

Zon-zon tersebut ialah Zon Kudat (20 Julai), Beluran (27 Julai) dan Zon Kota Marudu pada 28 Julai. – SabahNewsToday