Pilih Bahasa

ALLIANZ ROCK LIVE CONCERT 2019 GEGARKAN KOTA KINABALU

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Hebat dan memukau! Itu gambaran suasana persembahan sepanjang Allianz Rocks Live Concert 2019 Bersama Datuk Ramli Sarip, semalam.

Bertempat di Oceanus Waterfront Mall, konsert berkenaan dihadiri kira-kira 700 penonton terdiri daripada kakitangan Allianz, agen, pelanggan dan penggemar muzik rock tempatan di Sabah.

Datuk Ramli Sarip ketika mengadakan persembahan sempena Allianz Rocks Live Concert di Oceanus Waterfront Mall, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dianjurkan buat julung kali di negeri berkenaan oleh Allianz Malaysia Berhad, ruang legar pentas konsert mula dipenuhi peminat seawal jam 6.30 petang semata-mata mahu berada di hadapan pentas untuk melihat persembahan ‘Papa Rock’ secara dekat.

Tirai pentas konsert mula dibuka tepat jam 8 malam dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan rock tempatan , Ruhh.

Dianggotai penggiat seni rock Sabah, Ruhh menghiburkan penonton dengan menyanyikan beberapa buah lagu seperti November Rain, nyanyian asal kumpulan Gun’s n Roses, Burn dan sebuah lagu medley kumpulan Queen yang turut memuatkan lagu We Will Rock You.

Mendendangkan kira-kira 15 buah lagu termasuklah beberapa hitz popular sepanjang zaman, penonton yang menunggu kemunculan lagenda rock tanah air itu sejak awal konsert begitu teruja dan bersorak tatkala penyanyi kelahiran Singapura itu muncul di pentas utama menerusi lagu Sejuta Wajah.

Datuk Ramli Sarip bergandingan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Zakri Khir ketika mengadakan persembahan sempena Allianz Rocks Live Concert di Oceanus Waterfront Mall, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Atmosfera konsert rock berkenaan semakin hangat apabila bekas vokalis kumpulan Sweet Charity itu meneruskan persembahannya dengan nyanyian lagu Hilang Gelap Terbitlah Siang dan Lagu Buat Kekasih.

Sepanjang persembahan Lagu Buat Kekasih, penonton yang hadir turut sama menyanyikan lagu asal duet bersama penyanyi, Khatijah Ibrahim itu sambil Ramli bermain gitar.

Dikenali dengan suara serak-serak basah, antara lagu popular lain turut disampaikan Allianz Rocks Live Concert 2019 termasuklah Istilah Bercinta, Zakiah, Musibah dan Jikalau Berkasih.

Datuk Ramli Sarip ketika mengadakan persembahan sempena Allianz Rocks Live Concert di Oceanus Waterfront Mall, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ramli juga tidak ketinggalan mendendangkan lagu Jangan Tunggu Lama-Lama dan keadaan kian gamat apabila beliau turun ke hadapan pentas untuk mengajak peminat menyanyi bersamanya.

Penyanyi rock ternama tanah itu melanjutkan pentas konsert menerusi dendangan hitz lainnya, Kamelia.

Sejak awal persembahan, lagu yang banyak menaikkan nama kumpulan Sweet Charity dalam persada muzik rock tempatan itu adalah salah satu lagu dinantikan peminat dan ibarat ‘wajib nyanyi’ dalam setiap pertunjukkan pentas Datuk Ramli Sarip.

Dalam pada itu, dendangan single Teratai oleh Datuk Ramli Sarip pada acara penutupan tirai konsert adalah hadiah istimewa buat semua peminatnya di Sabah terutamanya bagi yang sanggup hadir pada konsert hampir lebih dua jam itu.

Datuk Ramli Sarip ketika mengadakan persembahan sempena Allianz Rocks Live Concert di Oceanus Waterfront Mall, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata pihaknya turuja membawakan konsert berkenaan ke Sabah susulan penganjuran konsert sama di Kuala Lumpur mendapat perhatian kira-kira 1,800 penonton pada November lalu.

“Konsert ini adalah tanda terima kasih kami kepada kepanggan dan rakan niaga Allianz di negeri ini. Mungkin konsert ini boleh menjadi penanda aras buat kami untuk mengadakan konsert lebih besar di Sabah selepas ini,” katanya. –SabahNews Today