Pilih Bahasa

ALTC hantar memorandum kepada menteri kewangan

LABUAN, 26 Julai (Bernama) — Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah Labuan (ALTC) telah mengemukakan satu memorandum kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengkaji semula pematuhan kepada Syarat Keperluan kepada Asas Ekonomi, dengan dakwaan peraturan baharu itu tidak praktikal.

 Pengerusi Datuk Chin Chee Kee memberitahu Bernama memorandum tersebut telah dihantar semasa menteri berkenaan berada di Labuan pada Ahad lepas.

Peraturan itu telah dilaksanakan tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pemain industri, ini menyebabkan mereka sukar untuk membuat pematuhan secara serta-merta.

Semasa pengumuman Bajet 2019 yang lepas, beberapa pindaan telah dicadangkan bagi Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (LBATA) 1990, untuk menggalakkan daya saing Labuan sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa termasuk bagi memastikan pematuhan terhadap standard cukai yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. 

LBATA 1990 telah dipinda dan diwartakan pada penghujung 2018 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.   

Antara perubahan yang diwujudkan adalah Keperluan Asas bagi 21 kategori dalam entiti/perniagaan, dan jika sebarang perkara dalam senarai itu tidak dipatuhi maka mereka tidak boleh dianggap sebagai entiti Labuan.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), secara automatik, mereka boleh dikenakan cukai pada kadar semasa sebanyak 24 peratus selaras dengan Akta Cukai Pendapatan (ACP). 

Chin menjelaskan majoriti penggiat industri tidak dimaklumkan mahupun diberi taklimat mengenai perubahan itu, dan ini telah menyebabkan kekecohan di kalangan mereka serta pelabur. 

“Peraturan itu baru saja berkuatkuasa pada awal tahun ini dan para pelanggan diharapkan untuk mematuhinya secara serta-merta, ini adalah tidak praktikal… semua entiti Labuan wajar diberi masa yang mencukupi untuk memahami, membincangkan dan membuat keputusan berkaitan keperluan tersebut,” katanya.

Memorandum itu turut mencadangkan pengampunan bagi entiti Labuan yang gagal mematuhi peraturan baharu tersebut semasa ia baru diperkenalkan, tetapi akhirnya, berjaya mematuhi keperluan pada penghujung 2019, untuk masih terus dianggap sebagai entiti Labuan dan oleh itu, dikenakan cukai di bawah LBATA berbanding ACP. 

Ia juga mengemukakan beberapa cadangan yang berkaitan dengan pindaan LBATA, antara lain, bagi memperbaiki Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pekerjaan di Labuan, kadar pertukaran, imbangan pembayaran, keyakinan dan hutang kerajaan.

“Kami mengesyorkan penubuhan satu jawatankuasa kecil yang terdiri daripada pemain industri, terutamanya daripada pihak bank, insurans, syarikat-syarikat amanah dan juga pasukan teknikal LHDN Labuan, sebagai unit yang menyelia cukai di bawah Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC)  dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan (Labuan FSA) untuk membincangkan isu-isu teknikal sebelum pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaburan Labuan (LIC). 

“Seperti yang disebutkan di atas, perubahan mendadak kepada peraturan-peraturan itu tidak menggambarkan imej baik bidang kuasa dan para pengawal selia, terutama apabila ia dibuat tanpa notis.

“Kami menjangkakan akan ada isu-isu operasi yang berterusan ketika kami beralih daripada rangka cukai Labuan yang lama kepada rangka kerja baharu dan kami bersyukur jika pihak kementerian secara rasminya boleh mengenalpasti sekumpulan pegawai yang mana kami boleh berhubung dan memohon panduan mengenai isu-isu pematuhan cukai Labuan,” katanya.

–BERNAMA