Pilih Bahasa

Alumni berperanan bantu kejayaan sekolah, pelajar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Bekas pelajar Sekolah Islamiyah Tawau disaran mencurahkan bakti dalam membantu meningkatkan pencapaian sekolah tersebut ke tahap yang membanggakan.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata sekolah berkenaan mempunyai prestasi membanggakan kerana berjaya melahirkan ramai pemimpin, golongan profesional, cendikiawan dan pendakwah di negeri ini.

Aidi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Amirullah bagi Tabung Persatuaan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Islamiyah (ASIST). – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Undang-Undang

“Bekas pelajar Islamiyah diharap dapat tampil bersama-sama bagi menjayakan apa juga program demi membantu perkembangan sekolah ini khususnya dalam kalangan pelajarnya.

“Rasa bertuah bila diberikan kesempatan merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Islamiyah (ASIST) ke-9 Sekolah Islamiyah Tawau, sebuah sekolah yang banyak meninggalkan kenangan dan nostalgia sewaktu bersekolah di sini pada 1975,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Islamiyah (ASIST) ke-9 Sekolah Islamiyah Tawau di sini pada Isnin.

Aidi (tengah) menyampaikan sumbangan salah seorang pelajar cemerlang pada Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Islamiyah (ASIST). – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Undang-Undang

Dalam majlis itu juga Aidi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menampung kewangan persatuan dalam menjayakan segala perancangan ASIST.

Menurut beliau persatuan ini diharap dapat bergerak dengan lebih aktif dan dapat membantu perkembangan dan pencapaian Sekolah Islamiyah Tawau ke tahap yang lebih tinggi.

“Hari ini saya cukup gembira kerana berpeluang bertemu dengan rakan-rakan sekolah sebelum ini seperti Datuk Ir Amirullah Kamal (pengerusi ASIST), Ustaz Badrul Amin Baharom dan lain-lain adalah suatu yang amat berharga dan menyentuh hati,” katanya. – SabahNewsToday