Pilih Bahasa

Alumni SMKAKK perkenal impak, bantu sekolah beri bimbingan kerjaya kepada pelajar

Gambar Bernama

KOTA KINABALU, 30 Nov  — Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu (SMKAKK) mengambil langkah proaktif memperkenalkan program Inisiatif Modul Pantas Arah Kerjaya (IMPAK) bagi membantu pihak sekolah memberi bimbingan awal hala tuju kerjaya kepada para pelajar.

Presidennya Dr M. Kamel Wan Ibrahim berkata program julung kali diperkenalkan dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) SMKAKK itu bertujuan menyediakan ruang interaksi antara pelajar dengan alumni berprofesion, memberi pendedahan tentang prospek kerjaya selain platform perkongsian pengalaman alumni dalam bidang profesion diceburi.

M. Kamel berkata IMPAK yang dilaksanakan bersama alumni SMKAKK itu merupakan hasil ideanya selepas beliau melihat terdapat jurang antara UBK sekolah dan para pelajar khususnya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berikutan ketiadaan bimbingan langsung daripada pemain industri atau golongan profesional dalam bidang kerjaya diminati mereka.

“Justeru, para alumni berperanan untuk mengisi ruang interaksi itu bagi membolehkan pelajar bertanya terus kepada mereka tentang kerjaya diceburi sekali gus menzahirkan kecenderungan pelajar terhadap sesuatu profesion diminati. Pelaksanaan IMPAK ini juga memerlukan kerjasama UBK untuk pembahagian (pelajar) mengikut psikometrik kerana UBK mempunyai data tersebut.

“Kami berharap program IMPAK akan dapat menaikkan lagi nilai kemenjadian para pelajar SMKAKK di masa depan,” katanya kepada Bernama, di sini.

M. Kamel berkata siri pertama program IMPAK telah diadakan pada Khamis lepas membabitkan seramai 86 pelajar yang baru sahaja selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, manakala siri kedua pula akan berlangsung pada 15 Januari tahun depan bagi Tingkatan Empat.

Katanya, program IMPAK juga secara tidak langsung menjadi landasan untuk para alumni SMKAKK kembali berbakti semula kepada sekolah, selain beliau turut mengalu-alukan bekas pelajar sekolah itu menyertai persatuan alumni berkenaan seterusnya memberi sokongan berterusan dalam setiap aktiviti.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah berkata usaha itu juga sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu alumni bergiat aktif memperkasakan lagi sekolah menerusi pelbagai sumbangan.

Pada Rabu, Maszlee berkata pihak sekolah perlu mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasakan sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terdiri daripada pemain industri serta golongan profesional, dan menurutnya, selain membantu dari segi material, alumni juga boleh memberi motivasi selain membuka pemikiran pelajar menerusi perkongsian pengalaman yang boleh mencetus cita-cita di jiwa para pelajar.

Dalam pada itu, M. Kamel berharap program IMPAK dapat dijadikan contoh oleh persatuan alumni sekolah lain di Sabah selain alumni SMKAKK juga bersedia menjalin kerjasama dalam mengembangkan insiatif modul tersebut bagi membolehkan pelaksanaannya diteruskan setiap tahun di sekolah masing-masing sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

— BERNAMA