Pilih Bahasa

Alya Amira Hanis lakar rekod baharu acara 80m lari berpagar MSSM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Menjadikan jaguh pecut dari Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce sebagai idola memberi suntikan semangat buat murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai Tawau melakar rekod baharu kejohanan dengan catatan 12.6 saat dalam acara 80 meter lari berpagar.

Alya Amira Hanis Hamrin, 12, menjuarai kategori berkenaan di kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Stadium Educity Iskandar Puteri, Johor, pada 21 hingga 25 April lalu.

Alya Amira Hanis menerima penghargaan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Alya berkata, dia turut gembira apabila menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Sekolah Sukan Bukit Jalil Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah latihan saya yang mengambil masa 30 jam dalam seminggu membuahkan hasil dengan menjuarai acara ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya yang tidak pernah lelah membantu saya menjadi atlet yang cemerlang.

Alya Amira Hanis (tengah) bergambar bersama rakan-rakan dan jurulatihnya Karim Batjo (kiri). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya juga ada ditawarkan melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu Sekolah Sukan Bukit Jalil Kuala Lumpur. Terdapat dua sekolah turut menawarkan iaitu Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT),” katanya ketika ditemui semalam.

Atlet cilik ini menerima penghargaan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Karnival Sukan Luar Bandar, di Padang Ladang Mostyn, di sini.

Alya bersama jurulatihnya memegang prinsip disiplin dalam latihan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Antara pencapaian Alya sebelum ini ialah Naib Juara dalam acara 80 meter dan juara 4×100 meter lari berpagar dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah.

Sementara itu, jurulatih Karim Batjo, 42, berkata resepi kejayaan melahirkan atlet yang cemerlang ialah seseorang jurulatih perlu ada disiplin, komitmen dan tidak berkira.

Beliau juga banyak menghabiskan masa bersama atlet dibawah kendaliannya dengan berlatih di kawasan ladang kelapa sawit.

Katanya, atlet di kawasan luar bandar juga mampu bersaing dengan atlet di bandar meskipun fasiliti di kawasan luar bandar tidak lengkap.

“Saya memiliki harapan untuk melahirkan lebih ramai atlet dan mendapat fasiliti latihan yang cukup kerana sudah terbukti bahawa walaupun atlet kami dari sekolah kampung namun mereka boleh tandingi atlet di sekolah bandar.

“Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat membantu SK Bombalai dari segi fasiliti latihan kerana kemudaham di sekolah ini sangat kurang,”katanya. – SabahNewsToday