Pilih Bahasa

Amal kesederhanaan pupuk penyatuan kaum: Ketua Menteri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Masyarakat diminta mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan bagi memupuk penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya pihaknya tidak mahu wujudnya perbezaan fahaman politik sehingga ada golongan ekstremis dan pelampau agama yang boleh mengganggu rasa keselesaan orang awam.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua kanan), Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah), Timbalan Ketua Menteri – Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan) dan Datuk Christina Liew (dua kiri) serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (kiri) menjalankan upacara “mongomot” atau menuai padi di Hongkod Koisaan, KDCA hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Shafie berkata seiring dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini, beliau mahu entiti kebudayaan yang merupakan komponen penting kepada ikatan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu terus dijaga dan dipelihara agar ianya dapat menyumbang kepada usaha membangun dan memajukan Sabah.

”Negeri ini mempunyai keupayaan untuk membangun. Kita boleh memajukan Sabah sama seperti Jepun dan Korea namun rakyatnya perlu memiliki minda yang tepat.

Mohd Shafie dan isteri serta Huguan Siou dan para tetamu khas menyampaikan lagu kaamatan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Rakyat negeri ini perlu bangkit disebabkan negeri ini mempunyai kekayaan sumber asli yang mencukupi untuk meletakkan Sabah sebagai negeri berasaskan perindustrian,” katanya ketika berucap pada Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019, dekat sini, hari ini.

Turut hadir isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Huguan Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; dan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk perayaan Pesta Kaamatan, Datuk Peter Anthony serta pemimpin Kabinet Sabah dan Persekutuan. 

Dalam pada itu, seiring dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’, perayaan berkenaan dilihat boleh menyatupadukan rakyat seluruh negeri disebabkan ia boleh dijadikan landasan bagi memajukan Sabah.

Mohd Shafie berkata China mampu membangun serta maju dalam tempoh 40 tahun dengan sistem komunis yang diamalkan malahan Wilayah Shenzen mampu membangun dengan kutipan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah trilion ringgit, walaupun mereka tidak mempunyai sumber asli seperti kayu balak dan minyak.

Menurut beliau, kemajuan dikecapi mereka kerana mempunyai minda yang tepat selain bersatu untuk masa hadapan lebih baik. -SabahNews Today