Pilih Bahasa

Amalan gaya hidup sihat perlu disemai dari anak-anak: Japlin

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Amalan gaya hidup sihat haruslah disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akin berkata penekanan tersebut adalah bagi memastikan risiko penyakit dapat dikurangkan.

Japlin (dua kanan) menyampaikan piala kepada pemenang. Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya potensi seseorang individu hidup dengan kadar kesihatan yang baik adalah bergantung kepada usaha individu itu sendiri.

“Penyakit seperti sakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti mampu menyerang sesiapa saja dan pada bila-bila masa tanpa mengira usia atau latar belakang seseorang individu.

“Langkah terbaik untuk kita mengelakkan diri daripada menjadi antara yang berisiko mendapat penyakit-penyakit ini adalah mengamalkan gaya hidup sihat, yang mana ibu bapa serta guru-guru juga harus menyemai budaya gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak dari peringkat rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Majlis Penutupan Sukan Tahunan 2019 di Padang Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud, hari ini. 

Menurutnya ibu bapa menjadi contoh teladan kepada anak-anak untuk menggalakkan anak-anak berminat dan bergiat aktif dalam aktiviti sukan. 

Tambahnya ibu bapa hendaklah menjadi contoh teladan dan cerminan kepada anak-anak.

Jelasnya ibu bapa sewajarnya perlu terlebih dahulu mempamerkan minat dan kesungguhan mereka dalam melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

“Contohnya, pada setiap petang mereka keluar berjoging dan ke lapangan untuk latihan sukan.

“Ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar atau mendaftarkan anak-anak di kelab-kelab sukan yang menjadi pilihan.

“Dengan cara ini mereka akan diberikan peluang mengikuti skim latihan yang sistematik daripada jurulatih-jurulatih yang berkelayakan.

“Bakat dan minat anak-anak dapat digilap sejak mereka masih di bangku persekolahan,” katanya.

Katanya aktiviti sukan sekolah juga boleh menjadi medium untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan yang pelbagai.

Menurutnya amalan bersukan dalam kalangan anak-anak sekolah juga wajar mendapat sokongan daripada ibu bapa khasnya dari segi dorongan dan sokongan moral.

“Melalui sukan-sukan di peringkat sekolah ini, kita dapat lihat potensi dalam diri anak-anak kita dan para guru turut boleh menggalakkan para pelajar yang mempunyai potensi tersebut untuk terus mara ke fasa lebih tinggi sekaligus melibatkan diri secara aktif dan serius dalam bidang sukan,” jelasnya. -SabahNewsToday