Pilih Bahasa

Amalkan gaya hidup cergas, aktif

Japlin (tengah) menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah. – Gambar SNT/Ihsan unit media Adun Usukan

KOTA BELUD: Komuniti setempat digesa untuk mengambil kira aspek penjagaan kesihatan khasnya kecergasan fizikal serta mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata amalan sihat seperti beriadah dan senaman rutin yang teratur mampu memberi faedah besar kepada kesihatan tubuh badan dan minda.

“Selain daripada mengisi masa lapang, menyihatkan tubuh badan, aktiviti sebegini juga boleh mengeratkan hubungan sesame ahli keluarga dan jiran tetangga.

“Riadah dan senaman yang dilakukan beramai-ramai pastinya akan lebih menyeronokkan,” katanya.

Japlin (tiga dari kanan) bersama para peserta yang menyertai aktivit mendaki Bukit Pakis di Astaka Padang Kampung Lingkodon Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan unit media Adun Usukan

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Mendaki Bukit Pakis dan lagu-lagu dakwah anjuran Kemas Daerah Tawau dengan kerjasama Pakis Hill di Astaka Padang Kampung Lingkodon Kota Belud di sini, semalam.

Menurut Japlin generasi muda wajar melibatkan diri dengan aktiviti riadah dan menceburkan diri dengan muzik-muzik berunsurkan kesenian Islam dan dakwah.

“Lagu-lagu nasyid berunsur dakwah sedikit sebanyak mampu memberi mesej kepada kita dan adalah wajar untuk generasi kita yang baharu menjadikan lagu-lagu dakwah sebagai halwa telinga yang mampu menghiburkan mereka setiap hari.

“Wacana menyampaikan ibadah itu luas dan konsep muzik yang bersesuaian juga mampu memberi keselesaan kepada ramai pihak untuk menerima kandungan mesej dalam lagu nasyid yang didengar,” jelasnya lagi.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan bagi kedua-dua acara pendakian dan lagu dakwah melibatkan murid-murid dari sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka. – SabahNewsToday