Pilih Bahasa

Amanah Sepanggar ukir senyuman buat Kak Ain sekeluarga

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Khairuddin (dua dari kiri) bersama Kak Ain (tiga dari kiri) dan dua orang anaknya. – Gambar SNT/Ihsan Amanah Sabah

KOTA KINABALU: Ketibaan tahun baharu 2020 amat bermakna bagi keluarga Norain Yussop atau lebih dikenali sebagai Kak Ain apabila mendapat perhatian daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Sepanggar yang membantu keluarganya menyediakan kelengkapan sekolah.

Mereka menerima bantuan seperti pakaian sekolah, kasut, beg dan alat tulis yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah, Khairuddin Daud semasa lawatan ke rumah keluarga itu yang turut disertai Pengerusi Amanah Sepanggar, Abdillah Matlin.

Kak Ain yang berasal dari Kampung Lokub, Sepanggar juga menjaga ayahnya telah menderita sakit saraf sejak setahun lalu.

Malah, Kak Ain yang bekerja sebelum ini terpaksa berhenti kerana mengalami sakit saraf yang menyebabkannya hampir lumpuh manakala suaminya juga meninggalkan kerja tetap bagi menjaga anak-anak dan hanya melakukan kerja-kerja sambilan untuk menyara keluarganya.

Sehubungan itu Khairuddin berharap bantuan berkenaan ini akan mengurangkan beban keluarga Kak Ain pada musim persekolahan ini. 

“Amanah Sepanggar berharap orang ramai dapat bersama-sama tampil membantu keluarga Kak Ain yang menderita sakit saraf.

“Penderitaan Kak Ain dan keluarganya amat memerlukan perhatian dan pembelaan daripada masyarakat yang prihatin,” katanya.

Khairuddin berkata bantuan daripada setiap anggota masyarakat dapat mengurangkan beban dan derita keluarga tersebut menjalani kehidupan seharian. – SabahNewsToday