Pilih Bahasa

AMANAH TUBUH BAHAGIAN DI SEMUA PARLIMEN SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) berharap akan mempunyai wakil di semua 25 kawasan Parlimen di Sabah.

Menteri Pertahanan merangkap Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata parti itu akan bekerja keras dalam mengukuhkan mereka di Sabah.

Presiden Amanah Mohammad Sabu bergambar beramai selepas menghadiri Bicara Mat Sabu di Dewan MPWS Sembulan, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam masa sama, katanya kerjasama di antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan lebih mantap dengan penyertaan ahli-ahli Amanah dari negeri ini.

“Kita berharap Amanah akan terus berkembang terutama di Sabah. Namun jangan kita bincang dahulu
berapa kerusi hendak bertanding, siapa calon… belum lagi.

“Yang penting ramaikan ahli sebanyak mungkin. Amanah menerima ahli pelbagai kaum dan kita letakkan slogan perjuangan kita iaitu Islam Rahmat Untuk Semua.

“Ini yang perlu ditekankan dan kita harapkan seramai mungkin rakyat Sabah bersama dengan Amanah kerana Amanah bersama PH yang bekerjasama juga dengan Warisan,” katanya ketia berucap dalam Program Bicara Bersama Presiden Amanah di Dewan MPWS, Sembulan di sini malam ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi Amanah Sabah, Haris Alimudin dan Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairudin Daud.

Dalam pada itu Mohamad Sabu turut mengakui bahawa masa depan politik negara terutama di Sabah agak sukar diramalkan tetapi keadaan itu tidak akan melemahkan peluang Amanah untuk terus bertapak di negeri itu.

Ujar beliau pilihan raya kecil di Semenyih, Selangor yang akan berlangsung pada 2 Mac ini akan menjadi medan bagi PH untuk mengukuhkan kedudukan dan menjadi parti yang masih menjadi pilihan rakyat.

“BN baharu mengekalkan kerusi di Cameron Highlands dan hari ini pula tujuh orang bekas ahli Parlimen Umno bersama dengan Bersatu dan kita harap di Sabah ada juga wakil kita (daripada bekas Umno),” katanya. – SabahNewsToday