Pilih Bahasa

Amarjit teruskan tugas sebagai Pengarah JANS

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Datuk Ir Amarjit Singh meneruskan tugasnya sebagai Pengarah Jabatan Air Sabah Negeri (JANS) hari ini.

Difahamkan Amarjit telah dinasihatkan oleh Kerajaan negeri untuk meneruskan tugas beliau seperti biasa.

Turut difahamkan pihak kerajaan sedang menanti keputusan bertulis penuh daripada Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N Paramaguru esok sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Amarjit (kanan) dalam sidang media hari ini. Gambar SNT

Amarjit ketika ditemui pada sidang media di pejabatnya memberitahu beliau mendapat nasihat daripada Kabinet negeri dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk ‘pergi kerja’.

Katanya Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony juga mengarahkannya untuk terus bekerja.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytihar pelantikan Pengarah JANS Datuk Ir Amarjit Singh bertentangan dengan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air 2003.

Keputusan itu dibuat Hakim Ravinthran N Paramaguru, berhubung saman difailkan oleh Plaintiff iaitu bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) pada 19 Mac lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit pada Ogos tahun lalu tidak mengikut undang-undang.

Yong dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung ketika memfailkan saman itu menyatakan bahawa pelantikan berkenaan bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Seksyen 3 dalam enakmen itu menyatakan bahawa pelantikan jawatan kanan mestilah dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sebelum dilantik sebagai Pengarah JANS oleh kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) Amarjit bukan seorang anggota perkhidmatan awam. -SabahNewsToday