Pilih Bahasa

AMBIL PEDULI SENSITIVITI KAUM, AGAMA

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (lima dari kanan) bersama Noorita dan Chan Foong Hin mengucapkan Gong Xi Fat Cai kepada orang ramai yang hadir dalam Program Karnival Sambutan Tahun Baharu Cina. – Gambar SNT / Ehsan DUN Kemabong

TENOM : Rakyat digesa mengekalkan keharmonian antara kaum yang sudah wujud sekian lama di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar berkata semua pihak perlu menjauhkan diri dari sifat iri hati dan hasad dengki kerana ia boleh merosakkan perpaduan rakyat.

“Jangan kita mencipta jurang antara kaum dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati mana-mana kaum kerana Malaysia bukan milik satu kaum sahaja tetapi milik kita semua.

Jamawi (empat dari kanan) bersama para tetamu dalam program Karnival Sambutan Tahun Baharu Cina di Kemabong. – Gambar SNT / Ehsan Dun Kemabong

“Kebelakangan ini ada pihak yang berkepentingan cuba mengeruhkan hubungan baik rakyat berbilang bangsa hingga ada ketikanya tidak mempedulikan sensitiviti agama dan kaum lain .

“Perbuatan ini terbawa-bawa hingga ke media sosial yang dijadikan medan untuk melontar tohmahan, tuduhan yang tidak berasas dan sensitif sambil disambut pula oleh pihak yang ada muslihat tertentu,” katanya ketika  berucap merasmikan Program Karnival Sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Karnival anjuran bersama  Pejabat Parlimen Tenom dan Persatuan Penganut Dewan Tai Pak Kung itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Fook Hin.

Jamawi berkata rakyat perlu menghargai titik persamaan yang ada dalam kepelbagaian budaya, adat resam, agama dan bahasa, sekaligus menjadi pengukuh kepada perpaduan negara.

Katanya semangat tolak ansur dan bersatu-padu antara semua kaum adalah elemen penting untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan makmur. – SabahNewsToday