Pilih Bahasa

Ambil syabu kononnya stres kumpul duit kahwin

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tekanan mengumpul duit untuk majlis kahwin. Itu antara alasan diberikan seorang lelaki yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam Ops Cegah di rumahnya di Manggatal, di sini kelmarin.

Ketika lelaki berusia 24 tahun itu ditahan, ibunya cuba buat provokasi menghalang anggota AADK daripada menahan anaknya.

Antara individu yang ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di Kota Kinabalu. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

Namun ditenangkan oleh anggota AADK sebelum dia di bawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Dia yang sudah bertunang mengaku kononnya punca dia menghisap syabu disebabkan tekanan mengumpul duit untuk majlis perkahwinan tahun depan.

Ketua operasi AADK Kota Kinabalu, Zakry Mat Zudin berkata dia yang bekerja sebagai juruteknik komputer antara tujuh lelaki yang ditahan dalam Ops Cegah bermula jam 10 malam dan berakhir 3 pagi.

Anggota AADK Kota Kinabalu menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah di Kota Kinabalu. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Dalam operasi itu, seramai tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi di bandar raya ini dan Penampang.

“Semua suspek kemudian di bawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu bagi tujuan saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima lelaki positif dadah jenis syabu termasuk lelaki yang mengaku kononnya tertekan menyebabkan dia menghisap syabu untuk menghilangkan tekanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zakry berkata semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran.

“Operasi itu disertai seramai tujuh anggota AADK Kota Kinabalu dan AADK Negeri,” katanya. -SabahNewsToday.