Pilih Bahasa

Amrullah dilantik Presiden Majlis Perbandaran Tawau baharu

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Datuk Ir Amrullah @ Ambrullah Kamal dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) baharu berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata pelantikan tersebut telah dipilih dan dipersetujui oleh Ketua Menteri bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut yang dijawat oleh Alijus Sipil setelah persaraan tempoh habis perkhidmatan mantan presiden itu.

Jaujan (dua kanan) menyampaikan watikah lantikan MPT baharu kepada Amrullah (dua kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan percaya dengan lantikan Amrullah sebagai seorang Pegawai Perkhidmatan Awam yang cukup berpengalaman, pentadbiran MPT akan maju ke hadapan.

“Terutama sekali mengenai menangani isu-isu yang berlaku seperti bekalan air, banjir yang perlu ditangani dengan baik dan juga masalah-masalah peningkatan naik taraf beberapa rangkaian jalan raya di Tawau.

“Lebih-lebih lagi di Tawau hari ini, Lapangan Terbang Tawau digunakan oleh pelancong kerana tumpuan yang mana ramai pelancong datang ke pantai Timur.

“Sudah tentu, peranan selaku Presiden MPT itu amat penting. Sebab itu Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah memilih Amrullah menjawat jawatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Wisma Innoprise, hari ini.

Jaujan dengan penuh yakin dan percaya kepada lantikan baharu tersebut akan dapat menggalas tugas dan tanggungjawab berkenaan dengan baik.

Sementara itu, Amrullah berkata dengan pengalaman selama 34 tahun dalam sektor perkhidmatan awam, beliau akan memberi perhatian kepada MPT dalam pelbagai pembangunan.

Jelasnya Tawau akan menerima pembangunan yang pesat namun akan menangani masalah-masalah yang menimpa MPT terdahulu seperti pembekalan air, tenaga elektrik, permasalahan banjir serta sistem pembentungan.

“Semua ini perlu diatasi sebelum.kita menerima apa-apa pembangunan lain di Tawau.

“Selain itu, rakyat Tawau juga memerlukan pembangunan dr segi pelancongan yang mana banyak potensi pelancongan alam semula jadi dan potensi-potensi lain yang boleh dikembangkan,” jelasnya.

Beliau juga bercadang untuk membesarkan lagi Lapangan Terbang Tawau untuk menerima lebih ramai pelancong luar dan dalam negara.

“Selain pelancongan alam semula jadi, sektor pelancongan pendidikan dan kesihatan juga perlu diambil berharian di Tawau.

“Ini kerana, ramai jutawan dari negara jiran yang berhampiran dengan Tawau menghantar ahli keluarga mereka berubat atau belajar di Singapura, padahal kita negara yang lebih hampir.

“Oleh itu, kita mahu MPT berada di tahap yang lebih baik daripada sekarang,” katanya. -SabahNewsToday