Pilih Bahasa

Anak bekas pelari pecut negara sedia tanding di Tulid

KOTA KINABALU: Anak kepada bekas pelari pecut negara Datuk Ellron Angin menyatakan kesediaan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tulid pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Jordan Jude Ellron yang juga Naib Ketua Wira Muda Parti Solidariti Tanah Airku (Star) berkata beliau sedia menggalas cabaran itu jika mendapat restu pimpinan parti.

Jordan Jude Ellron. Gambar Fail SNT

Untuk rekod, bapanya adalah penyandang di Dun Sook.

Jordan, 23, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan optimis pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang memandangkan jumlah golongan itu melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Beliau berkata sudah tiba masanya pemimpin muda diberi peluang yang luas dalam arena politik, termasuk menjadi wakil rakyat.

Tulid merupakan salah satu daripada 13 kerusi Dun baharu yang bakal dipertandingkan, dan terletak dalam Parlimen Pensiangan di kawasan Pedalaman Sabah.

“Sebagai calon muda, saya ingin menyambung legasi dan memperjuangkan kepentingan di mana rakyat perlu melihat semula MA63 yang menunjukkan asas pembentukan negara ketika itu untuk memahami secara keseluruhan pindaan dibuat.

“Dalam MA63, semua pihak terbabit bersetuju bahawa negeri dalam Persekutuan adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta Singapura.

“Namun, ini dimansuhkan pada 1966 kerana Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965. Jadi, pindaan pertama terhadap artikel ini pada 1966 dan artikel dijadikan undang-undang dalam Perlembagaan sehingga 1976,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jordan berkata pindaan dibuat sekali lagi pada 1976 untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri seperti 11 negeri lain dan pindaan itu menggugurkan perkataan ‘the States of Malaya, namely’ dan ‘the Borneo States, namely’ daripada definisi asal negeri Persekutuan Malaysia.

“Mengapa Perlembagaan menurunkan status kedua-dua negeri ketika itu? Ini menjadi persoalan saya dan ini yang saya ingin perjuangkan.

“Saya masih muda dan kecewa pada mereka sebelum ini dan mereka seharusnya sedar mereka melakukan kesilapan kerana tidak membantah pindaan Perlembagaan pada 1976.

“Selepas 43 tahun, rakyat Sabah tidak mendapat hak kesamarataan dan saya mahu mewakili suara anak muda dan mengangkat darjat KDMR (Kadazan Dusun Murut Rugus) untuk mengambil langkah besar untuk meminda Perlembagaan ini kepada kedudukan pada 1963,” tegas beliau.

Jordan berkata ini sekaligus mengembalikan semula kedudukan Sabah dan Sarawak yang jelas membuktikan Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu 11 negeri, Sabah dan Sarawak.

Beliau juga bertekad bagi memastikan suara anak muda di bahagian pedalaman dan seluruh sabah didengari.

“Mungkin ada di antara suara anak muda di sabah ini tidak di dengari. jadi misi saya ialah mahu mereka mendapat perhatian sewajarnya dan juga suara/pendapat/idealogi mereka sampai ke perhatian kerajaan,” katanya.-SabahNewsToday