Pilih Bahasa

Anak berusia dua tahun maut tertinggal dalam kereta

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan maut selepas lebih tiga jam ditinggalkan di dalam kenderaan ibunya di Taman Aman, dekat sini, Rabu lalu.

Mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih dan melecur di bahagian muka serta lengan kira-kira pukul 4.35 petang.

Bayi berusia dua tahun sembilan bulan ditemui di belakang tempat duduk penumpang dalam keadaan mulut berbuih dan kesan melecur di bahagian muka dan lengan. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata sebelum kejadian ibu mangsa bersama mangsa baru pulang daripada mengambil dua orang lagi anaknya yang bersekolah dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Bezza, pukul 1 petang.

“Sebaik tiba di rumah, ibu mangsa parkir di tepi jalan berhampiran rumahnya dan berpesan kepada anak pertama untuk membawa mangsa masuk ke dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar Fail SNT

“Ibu mangsa kemudian naik ke tingkat atas rumah untuk solat dan tertidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata pada pukul 3.35 petang, ibu mangsa turun ke bawah untuk makan lalu memanggil mangsa namun tiada jawapan.

“Ibu mangsa bergegas mencari keliling rumah termasuk kawasan perumahan jiran namun masih tidak menemui.

“Sehinggalah akhirnya mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” katanya.

Beliau berkata mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan sudah meninggal dunia pukul 4.39 petang.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kesan haba selepas lama tertinggal di dalam kenderaan berkenaan.

“Kesan melecur di bahagian muka dan lengan pula disebabkan keadaan dalam kenderaan yang panas dan ia berlaku selepas mangsa sudah meninggal dunia.

Tambah Nasri, susulan kejadian itu pegawai perubatan membuat laporan polis dan ibu mangsa ditahan pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 403A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga mengakibatkan kematian,” katanya. – SabahNewsToday