Pilih Bahasa

Anak jumpa mayat bapa tergantung di pokok getah

Oleh Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di pokok getah Kampung Kulung-Kulung, Rimbaan, Kuala Penyu, di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 44 tahun ditemui tergantung oleh anaknya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibunya, jam 5.15 petang.

Mayat mangsa ditemui tergantung di pokok getah di Kampung Kulung-Kulung, Rimbaan Kuala Penyu. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa dikatakan keluar rumah, pada 7 pagi untuk menghantar lima anaknya ke sekolah tetapi mangsa tidak datang menjemput anaknya yang keluar sekolah jam 11.30 pagi.

“Anak mangsa kemudian berjalan kaki ke tempat kerja bapanya di LIGS pekan Kuala Penyu tetapi mangsa tiada hingga jam 5 petang, anak mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah mereka oleh rakan sekolah mangsa.

“Sebaik tiba di rumah, anak lelakinya bertanya kepada ibu di mana bapanya berada. Tetapi ibu berkata tiada di rumah sebelum mengarah tiga anaknya mencari di sekitar kebun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata tidak lama selepas itu, anaknya menemui mangsa yang tergantung di pokok getah dan menjerit ke arah ibunya.

“Anaknya kemudian memotong tali untuk menyelamatkan bapanya (mangsa) tetapi mangsa sudah tidak bernyawa sebelum isterinya memaklumkan rakan sekerjanya menghubungi polis.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – SabahNewsToday