Pilih Bahasa

Anak kura-kura muncung babi bernilai RM1 juta dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kira-kira 4,000 ekor anak kura-kura jenis muncung babi (Carettochelys Insclupta) dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di muara Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, dekat sini tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kura-kura bernilai RM1 juta dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini sebelum di hantar ke Semporna.

Kira-kira 4,000 ekor anak kura-kura jenis muncung babi dirampas. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan menerusi Operasi Gelora berjaya mengesan bot penumpang yang dijuragani seorang lelaki berusia 38 tahun.

Beliau berkata juragan warganegara Indonesia itu dipercayai membawa bot dari Sungai Haji Kuning menuju ke Tawau.

Anak kura-kura ditemui dalam 39 bekas plastik. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Hasil pemeriksaan dijalankan, anggota bertugas menemukan tiga beg di atas bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg dan kotak itu berjaya menemui 39 bekas plastik berisi kira-kira 4,000 anak kura-kura dikenali sebagai kura-kura muncung babi yang masih hidup.

“Siasatan mendapati anak kura-kura terbabit cuba diseludup ke Tawau sebelum dihantar ke Semporna,” katanya ketika ditemui dalam sidang media hari ini.

Mohd Nazari berkata juragan berkenaan mendakwa didatangi seorang lelaki yang memandu sebuah teksi di Sungai Haji Kuning sebelum memintanya membawa tiga beg berkenaan ke Tawau.

“Suspek yang tidak mengetahui isi kandungan beg itu bersetuju membawanya (anak kura-kura) dengan upah RM50,” katanya.

Jelas beliau berdasarkan maklumat yang diperoleh, harga anak kura-kura itu boleh mencecah sehingga RM250 seekor.

“Ini adalah tangkapan pertama PPM membabitkan hidupan liar tahun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” jelasnya.

Semua barang rampasan itu akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.

Difahamkan spesis kura-kura itu adalah haiwan yang dilindungi di Indonesia dan banyak didapati di Kepulauan Papua. – SabahNewsToday