Pilih Bahasa

Anak lemas, ayah belum ditemui

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KUALA PENYU: Seorang lelaki ditemui lemas manakala ayahnya belum ditemui selepas bot dinaiki bersama seorang lagi rakan dipukul ombak besar ketika keluar memancing di Pantai Sabang, Kampung Kekapor, dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu mangsa, Izam Jahar, 20-an disahkan meninggalkan dunia selepas ditemui rakan memancing mangsa dikenali sebagai Rosman Imang, 40-an beberapa meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata bapa mangsa  dikenali sebagai Jahar Asri, 40-an masih belum ditemui sehingga kini selepas terjun ke laut untuk menyelatkan anaknya.

“Lelaki berkenaan dipercayai terjun ke laut dengan segelen air tanpa memakai jaket keselamatan sewaktu kejadian.

“Rakan mangsa memaklumkan dia cuba menghidupkan enjin bot mereka yang mati akibat dipukul ombak dan selepas berjaya dihidupkan, dia cuba mencari semua mangsa namun hanya menjumpai Izam dalam keadaan terapung.

“Rakan memancing mangsa terus membawa mangsa lemas ke darat untuk mendapatkan bantuan tetapi mangsa sudah meninggal dunia.

“Bapa mangsa lemas pula belum dijumpai sehingga kini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asmawati berkata operasi cari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan sekitar pukul 10.30 pagi bagi mencari yang masih hilang.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada orang awam menerusi panggilan kecemasan 999 yang memaklumkan seorang pemancing dipercayai hilang ketika cuba menyelamatkan anaknya pada kedudukan 15 Batu Nautika Timur Laut Labuan. 

Sementara itu, Asmawati berkata operasi turut disertai pasukan bomba dan penyelamat Kuala Penyu dan Taman-taman Sabah Pulau Tiga.

“Operasi SAR hari ini akan diteruskan esok berikutan faktor persekitaran yang sudah gelap,” katanya. – SabahNews Today