Pilih Bahasa

Anak Maal Hijrah hikmah terindah buat keluarga

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Menyambut kelahiran orang baru ketika memasuki tahun baru Islam adalah hikmah terbesar buat saya serta keluarga.

“Awalnya sedikit bimbang apabila diminta bersalin beberapa hari lebih awal ekoran bacaan tekanan darah agak tinggi namun siapa sangka saya sendiri diberi peluang melahirkan cahaya mata perempuan apabila masuk sahaja Awal Muharram,” kata ibu bayi Maal Hijrah, Dk Siti Asmah Pg Tengah, 36.

Dk Siti Asmah bersama anak bongsu ketika ditemui di HWKK Likas. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Ibu kepada empat cahaya itu berkata dirinya dan suami tidak pernah menyangka bakal menimang anak dalam bulan penting Islam disebabkan tarikh asal jangkaan diberikan doktor adalah 4 September.

Dk Siti Asmah menyatakan dia dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK) Likas pada Khamis lalu selepas mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan Papar.

“Saya dirujuk ke sini disebabkan doktor bimbang dengan bacaan tekanan darah dan selepas membuat pemeriksaan di sini, pihak hospital menasihatkan kelahiran lebih awal.

“Doktor mula memberikan suntikan induce pada sebelah petang hari sama tetapi tiada sebarang tanda kelahiran.

“Saya sekali lagi diberikan suntikan sama pagi semalam dan tepat jam 6.30 petang saya melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.07 kilogram (kg),” katanya ketika ditemui di wad bersalin HWKK, hari ini.

Ditanya samaada mengalami sebarang alahan teruk sepanjang tempoh kehamilan, Dk Siti Asmah menyatakan pengalaman mengandung anak keempatnya itu agak berbeza daripada tiga anak sebelum ini.

“Tiga anak terdahulu langsung tiada sebarang alahan teruk dan selera makan juga tidak terganggu namun kali ini walaupun sudah pada fasa hendak bersalin.

“Saya juga terlalu memilih makanan kerana hidung menjadi terlalu sensitif serta berasa loya.

“Mungkin itu juga menyababkan faktor berat anak bungsu ini agak ringan jika mahu dibandingkan dengan anak dan kakaknya yang memiliki berat 3.5 kg ke atas sewaktu dilahirkan,” katanya memilih nama Dk Puteri Nurkhadijah Maisarah Razali buat bayi perempuan comel terbabit.

Sementara itu, pengalaman sama turut dirasakan pasangan suami isteri muda tatkala menerima kehadiran anak sulung pada tarikh bermakna dalam kalender Islam.

Mohd Ibrahim Samlan, 23, berkata isterinya, Asnirah Ahmad, 23, selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.9 kg secara normal pada jam 6.54 pagi.

Mohd Ibrahim dan isteri bersama anak sulung mereka yang baru sahaja dilahirkan pagi tadi di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Mohd Ibrahim menyatakan anak sulungnya dijangka lahir 16 September tetapi disarankan bersalin awal disebabkan masalah tekanan darah isteri agak tinggi.

“Saya bersyukur isteri dan anak selamat serta sihat malah pengalaman menimang cahaya pada hari ini pastinya kenangan yang tidak mampu dilupakan sepanjang hidup ini.

“Semoga anak ini menjadi seorang berbakti untuk keluarga selain berguna kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 21 bayi Maal Hijrah terdiri dari 11 bayi lelaki serta 10 perempuan dilahirkan di HWKK Likas setakat jam 10 pagi tadi. -SabahNews Today