Pilih Bahasa

Anak muda Sabah perlu ada kesanggupan bekerja dalam sektor perladangan

Dr Yusof (tiga dari kiri) menyerahkan surat lantikan pekerjaan kepada salah seorang pencari kerja dalam Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Semporna sempena Kembara Kerjaya Sabah 2019 di Dewan Masyarakat. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

SEMPORNA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Sabah tidak boleh bergantung selamanya kepada tenaga kerja asing untuk memajukan sektor pertanian di negeri.

Sehubungan itu beliau menggesa pemilik ladang yang di negeri ini menawarkan pekerjaan dengan gaji berpatutan kepada rakyat Sabah dan menyediakan kemudahan tempat tinggal lebih baik di samping memberikan pelbagai insentif agar dapat menarik lebih ramai rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan.

Sebahagian daripada pencari kerja mendaftar di kaunter Jabatan Tenaga Kerja Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

“Sabah mempunyai banyak peluang pekerjaan termasuk dalam sektor pertanian. Dalam bidang perladangan misalnya, kita menyediakan banyak peluang pekerjaan, malangnya sektor ini hampir kesemuanya diisi oleh para pekerja dari luar.

“Adakah anak muda Sabah tidak sanggup bekerja dalam bidang perladangan, inilah perkara yang perlu kita fikirkan secara mendalam memandangkan pekerja asing berlumba-lumba ke Sabah mencari pekerjaan, sedangkan anak muda kita memperlekehkan mereka,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Semporna sempena Kembara Kerjaya Sabah 2019 di Dewan Masyarakat di sini hari ini.

Dr Yusof memukul gong sebagai gimik perasmian Karnival Pekerjaan Peringkat Daerah Semporna sempena Kembara Kerjaya Sabah 2019 di Dewan Masyarakat Semporna. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Program tahunan anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Ke-5 ini berkolaborasi dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah (JPSM).

Program mesra rakyat berkonsepkan ‘turun padang’ itu melibatkan pergerakan berkonvoi kenderaan pacuan empat roda ke lokasi-lokasi terpilih bermula di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna  Lahad Datu dan berakhir di Sandakan pada 30 Mac.

Dr Yusof ketika melepaskan konvoi Kembara Kerjaya untuk bergerak Daerah Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang turut berpesan kepada semua pencari kerja agar berusaha  dengan gigih tanpa mengenal erti putus asa.

“Tingkatkan kemahiran diri, belajar daripada pengalaman lepas dan terus berusaha untuk kekal produktif dan berdaya saing,” katanya.

Dr Yusof (empat dari kiri) melawat kaunter pameran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Semporna. – Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelajaran dan Inovasi

Beliau juga merakamkan penghargaan  kepada JTK, JPSM dan semua agensi-agensi kerajaan serta majikan dan penyedia latihan yang sentiasa memberikan kerjasama. 

“Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan agar segala aktiviti dan perancangan yang bakal kita laksanakan dapat memberi impak baik kepada rakyat dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya. – SabahNewsToday