Pilih Bahasa

Anak tergamam ibu bapa menagih dadah ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

Erwan menahan seorang lelaki selepas disyaki terbabit penyalahgunaan dadah dalam Ops Cegah AADK Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan AADK Sabah

KOTA KINABALU: Dua beradik tergaman apabila ibu bapanya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Pasangan berusia 45 dan 46 tahun itu antara 15 suspek ditahan AADK dalam Ops Cegah yang bermula pukul 10 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi hari ini.

Difahamkan, pasangan itu ditahan ketika sedang tidur di dalam bilik rumah mereka.

Ketika ditahan, dua anak mereka berusia 20 dan 21 tahun yang sedang tidur terjaga lalu terkejut apabila ibu bapa mereka ditahan penguat kuasa AADK setelah pasangan terbabit mengaku menghisap syabu dua hari lalu.

Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata Ops Cegah dijalankan membabitkan seramai 10 anggota AADK Sabah yang diketuai oleh Erwan Roslan.

Seramai 15 individu termasuk suami isteri ditahan dalam Ops Cegah AADK di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan AADK Sabah

“Seramai 15 individu ditahan termasuk pasangan suami isteri kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan di bilik penginapan di Bandaran, Kampung Teguli Putatan, Ulu Putatan, dan Kampung Sailan, Putatan.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Abdul Hamediee berkata, semua penagih yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Negeri Sabah dan permohonan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran. – SabahNewsToday