Pilih Bahasa

“Ang Pow” istimewa buat Annen

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: “Ini adalah Ang Pow terbesar buat diri sempena Tahun Baru Cina tahun ini.

“Ia moment yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup. Saya tidak sangka dapat bertemu idola saya dalam pembuatan sarung kepala singa yang selama ini hanya mampu dilihat melalui Youtube sahaja,” kata remaja penghidap penyakit lemah otot atau Muscular Dystrophy, Annen Keith Tec Chuan,17.

Annen bersama Master Siow (kanan) dan ahli keluarga pada majlis istimewa di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mesra disapa Annen, dia yang mempunyai minat mendalam terhadap tarian singa serta seni penghasilan sarung kepala kostum singa sudah lama menyimpan hasrat bertemu adiguru tarian berkenaan, Siow Ho Phiew atau Master Siow.

Remaja orang kurang upaya (OKU) itu berkata dia sendiri tidak mengetahui mengenai kejutan terbabit dan hanya beranggap hadir ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah untuk sesi temujanji namun bagaimanapun terkejut dengan majlis diaturkan buat dirinya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menyatakan sambutan terbabit lebih bermakna apabila melihat individu idolanya berada di depan mata.

“Sejak mula belajar membuat sarung kepala singa ketika berada ditingkatkan satu, saya sering melihat video Master Siow membuat kostum itu di laman sosial sosial.

Master Siow (kanan) menyerahkan sarung kepala singa yang dibuat khas kepada Annen (dua dari kanan) sempena majlis khas di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Malahan minat yang kian mendalam ini membuatkan saya mahu bertemu beliau suatu hari nanti dan akhirnya impian menjadi kenyataan hari ini,” katanya mula dikesan menghidap penyakit lemah otot sejak umur enam tahun.

Selain dapat bertemu individu dikagumi, Annen turut diberikan sebuah sarung kepala singa yang dibuat khas oleh Master Siow untuk dirinya selain menunjukkan hasil karya kepala singa buatan sendiri.

Menurut Annen, dia mengambil masa lebih tiga minggu untuk menyiapkan keseluruhan hasil seninya berikutan kesukaran mencari bahan-bahan diperlukan.

Annen juga tidak menyangka apabila karya kepala singa pertamanya itu bakal dipamerkan pada Pameran Bakat-Bakat Baharu di Balai Seni Lukis Sabah bermula 13 hingga 17 April hadapan.

Dalam pada itu, Siow Ho Phiew yang ditemui pada majlis sama berkata beliau terharu mendengar permintaan Annen yang sudah lama mahu bertemunya.

“Ini kali pertama saya terlibat majlis seperti ini dan pastinya gembira dapat memenuhi hajat anak istimewa ini.

“Walaupun menetap di Semenanjung dan sibuk pelbagai urusan sempena sambutan Tahun Baru Cina hujung bulan ini tetapi saya tetap datang untuk luangkan masa bersama Annen,” katanya.

Sementara itu, Ibu Annen, Verna Junas, 43, berkata minat serta bakat anaknya itu terserlah ketika berada di sekolah rendah lagi hingga kini.

“Anak bongsu kami ini memang sangat suka melihat tarian singa. Saya dan suami juga terkejut dia mampu menghasilkan sarung kepala singa ini.

“Bagaimanapun, kami tidak memiliki sebarang halangan ke atas minat Annen dan terus menyokong kerana sedar ia boleh menggembirakannya,” katanya sebak.

Berkongsi mengenai penyakit dihidapi Annen, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan berkata anak bongsunya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain hinggalah disahkan menghidap masalah berkaitan lemah otot pada umur enam tahun.

“Tetapi saya tetap bersyukur kerana Annen masih boleh makan, menulis dan mampu bermain gendang sendiri walaupun agak terbatas,” katanya. -SabahNewsToday