Pilih Bahasa

ANGGOTA JSJ KEPAYAN CEDERA KEMALANGAN DI TAWAU

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Dua beradik cedera apabila kenderaan Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas ke seberang jalan selepas hilang kawalan semasa dalam perjalanan menuju ke bandar Tawau dari Batu 15.

Kedua-dua mangsa iaitu Mohd Hasbi Lawela, 32, bersama adiknya, Lilis Karlina Andis, 17, masing-masing mengalami cedera tulang belakang dan bahagian mulut dalam kemalangan itu yang berlaku di Batu 7 Jalan Apas Parit, Tawau.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tawau manakala ibu mereka, Muliana Tentri, 49 yang duduk di bahagian depan kerusi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian berlaku pada pukul 11.20 pagi tadi dan kita difahamkan ketika kemalangan itu, jalan agak licin kerana hujan lebat hingga menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderannya lalu terbabas.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati, pemandu Toyota Hilux merupakan seorang anggota polis yang berkhidmat di IPK Bahagian JSJ sedang bercuti di Tawau dalam perjalanan dari batu 15 menuju ke bandar Tawau.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu hilang kawalan disebabkan jalan raya yang licin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, menurut saksi yang kebetulan lalu di jalan bertentangan, kenderaan tersebut terpusing sebanyak tiga kali sebelum terbabas ke sebelah jalan arah bertentangan.

Katanya, penumpang yang duduk di bahagian belakang telah tercampak keluar dari kenderaan ke tepi jalan dari arah Apas ke bandar Tawau.

Sehubungan itu, Fadil berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday