Pilih Bahasa

Anggota JSJ maut dalam kemalangan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Keadaan di tempat kemalangan berhampiran gelanggang Futsal Jalan Sulaman. Gambar SNT/Ehsan Polis

TUARAN: Seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran maut dalam kemalangan jalan raya di Tuaran Futsal Arena Jalan Sulaman, Sulaman-Serusup hari ini.

Keadaan motosikal mangsa yang remuk akibat perlanggaran tersebut. Gambar SNT/Ehsan Polis

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.34 petang tadi motosikal ditunggang mangsa berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia di simpang masuk menuju ke arena futsal tersebut.

Pemangku Ketua Polis Tuaran, Asisten Superitendan Raji Hussin Suhodin berkata mangsa yang dikenal pasti sebagai Sarjan Detektif Mohd Norzanyzan Mohd Din, 39, maut di tempat kejadian.

Kenderaan Perodua Axia turut remuk di bahagian hadapan. Gambar SNT/Ehsan Polis

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tuaran.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek dari arah bertentangan telah masuk ke simpang ke dalam Arena Futsal Sulaman.

Mangsa bergambar dengan motosikalnya pagi tadi dan tidak disangka adalah gambar terakhir sebelum terlibat dalam nahas kemalangan. Gambar SNT/Sumber media sosial

“Mangsa yang berada di jalan lurus tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian depan sebelah kiri kenderaan suspek, mengakibatkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Raji Hussin hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Perodua Axia yang cuai ketika memasuki simpang di kawasan itu.

Bagaimanapun katanya siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday