Pilih Bahasa

Anggota keselamatan ditempatkan dalam kapal, bot nelayan Esszone

Hazani Ghazali. – Gambar Fail SNT

LAHAD DATU, 24 Okt — Kapal atau bot nelayan yang berada di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan diletakkan anggota pasukan keselamatan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata cara itu antara langkah bagi menangani kes penculikan membabitkan nelayan di Esszone.

“Sebelum ini, kita pernah buat (meletakkan anggota keselamatan dalam bot nelayan) pada tahun 2016, kali ini kita aktifkan semula.

Ketika itu, terjadi insiden tembak menembak antara pasukan keselamatan dan penjenayah,” katanya kepada Bernama.

Pada Disember 2016 itu, anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menembak mati tiga daripada tujuh penculik dari Selatan Filipina dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Pulau Gaya, Semporna.

Selain itu, pasukan keselamatan turut berjaya menahan dua suspek lain manakala bakinya melarikan diri.

Ketika kejadian, seorang mangsa culik juga berjaya diselamatkan.

— BERNAMA