Pilih Bahasa

ANGGOTA NBPFF BAGAI WIRA TIDAK DIDENDANG MEMPERTAHANKAN MALAYSIA

Oleh Chris Maskilone

Daud (kiri) bersama rakan pasukan berkawal di check point Kalabakan, Makalang di belakang Pulau Nunukan. Gambar SNT/Ehsan Mohd Daud Kalakhan

PAPAR: Era zaman konfrontasi 1960an antara Malaysia dengan Indonesia menyaksikan ramai anggota pasukan keselamatan terkorban termasuk pejuang North Borneo Police Field Force (NBPFF) terutama semasa peristiwa serangan di Kalabakan, Tawau.

Ramai mereka ini terutama anggota NBPFF seperti wira yang tidak didendang, kata pesara polis Sub-Inspektor Mohd Daud Haji Kalakhan.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Daud, 74, pada ketika itu mengetuai seksyen dalam satu platun NBPFF telah diarahkan ke Kampung Mantadak Lama di Pulau Sebatik, untuk menyiasat laporan segerombolan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) merentasi sempadan dan telah menangkap ketua kampung serta merampas barang-barang kepunyaan penduduk kampung.

Sub Inspektor Mohd Daud Haji Kalakhan. Gambar Fail SNT

Konfrontasi itu tercetus semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, apabila Presiden Indonesia pada ketika itu Allahyarham Sukarno enggan mengiktiraf keputusan Suruhanjaya Cobbold yang mewakili Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PPB) menjalankan pungutan suara ke atas rakyat Sabah dan Sarawak.

Malahan, Sukarno menuduh Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai dalang yang mempengaruhi keputusan pungutan suara rakyat Sabah dan Sarawak supaya memilih Malaya sebagai rakan sekutu kerajaan dan membentuk Malaysia, katanya.

Menurut Daud, sejurus keputusan PBB diumumkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk bergabung dengan Malaya dan membentuk Malaysia, Sukarno segera mengarahkan TNKU melancarkan serangan bertubi-tubi di kawasan perbatasan Sabah dengan Kalimantan.

“Sasaran pertama mereka di Kampung Mantadak, Pulau Sebatik dan seterusnya ke Kalabakan melibatkan ramai orang awam dan begitu juga anggota pasukan keselamatan dan tentera yang terkorban,” kata Daud.

Menurutnya, apabila tiba di Kampung Mantadak hasil maklumat dari penduduk yang tidak sempat melarikan diri, Daud dan seksyennya merancang satu serangan hendap terhadap kumpulan TNKU.

Daud (kiri) bersama rakan berkawal disuatu kawasan Kg Mantadak dekat sempadan Indonesia di Pulau Sebatik. Gambar SNT/Ehsan Mohd Daud Kalakhan

“Pada waktu malam sekitar jam 7, kumpulan TNKU datang dan kami terus menyerang. Dalam pertempuran sengit itu tiga anggota TNKU terkorban dan saki bakinya melarikan diri ke kawasan sempadan Indonesia … kami bersyukur kerana pasukan kami pada ketika itu tiada yang tercedera,” katanya.

Dalam pada itu, Daud menyifatkan perjuangan pasukan keselamatan sekitar tahun 1960an terutama sekali ketika menghadapi konfrontasi Malaysia-Indonesia tiada siapa yang tahu bagaimana kesengsaraan oleh mereka yang terlibat mempertahankan negara.

Begitupun, keluhnya, masih banyak lagi kisah perjuangan wira kumpulan NBPFF yang tidak pernah dikenang.

“Namun kita bersyukur sudah merdeka bersama Malaysia 55 tahun,” katanya.

Daud berasal dari Kampung Pengalat Besar menyertai NBPFF pada 1 Februari 1961 dan ditempatkan di Unit Police Field Force (PFF) setelah tamat latihan rekrut 9 bulan sebelum diserap kedalam Platoon 5, Kompeni C sehingga tahun 1965.

Pada tahun 1966, beliau dipindahkan ke Cawangan Khas kemudian ke cawangan Siasatan Jenayah pada tahun 1980.

Tugas akhir beliau sebelum bersara wajib sebagai Ketua Balai Polis Papar (OCS) dari tahun 1995 hingga 1999 dengan pangkat Sub Inspektor.-SabahNewsToday