Pilih Bahasa

Anggota PGA Asman dalam perjalanan ke tempat kerja

Oleh Junaidi Ladjana

Koperal Asman Ongkal. – Gambar SNT/Ihsan PGM

SANDAKAN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Sandakan di sini, awal pagi tadi dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk bertugas di Batalion 15 Sandakan.

Koperal Asman Ongkal, 40 tahun merupakan antara penumpang bot yang membawa 37 penumpang termasuk 28 pelajar dari Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan.

Ketika dalam perjalanan, bot penumpang dikatakan bertembung dengan sebuah bot yang sedang ditunda lalu karam.

Mangsa kemudiannya cuba menyelamatkan beberapa penumpang lain sebelum dia dilaporkan hilang.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata sebelum kejadian anggotanya itu sedang dalam perjalanan untuk bertugas dan dalam masa sama ingin menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya sejurus bot berkenaan karam, Asman membantu menyelamatkan penumpang lain sebelum dilaporkan hilang.

“Setakat ini, Asman belum ditemui dan kami turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan ketika ini.

“Kami akan berusaha sedaya mungkin dalam mengesan Asman,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi tadi itu, bot dinaiki Asman bersama 37 lagi penumpang termasuk 27 pelajar dilaporkan karam.

Susulan kejadian itu, operasi SAR dijalankan membabitkan pelbagai agensi keselamatan. – SabahNewsToday