Pilih Bahasa

Anggota polis cedera, elak langgar anjing ketika pulang daripada tugas SJR Op Covid-19

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis cedera apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas mengelak sekumpulan anjing liar di tengah jalan raya di Batu 7, berhampiran Jambatan Inanam, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, anggota polis lelaki berusia 34 tahun cedera dibahagian tulang rusuk dan luka di kedua-dua tangannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata anggota polis yang baru selesai tugas sekatan Jalan raya (SJR) di Inanam menuju ke Balai Polis Kota Kinabalu.

“Apabila mangsa bergerak hampir satu kilometer dari lokasi sekatan jalan, tiba-tiba ternampak beberapa anjing berkeliaran di tengah jalan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat elak lalu terbebas ke tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, impak kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di kedua-dua tangannya serta tulang rusuk.

“Mangsa kini menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2,” katanya. – SabahNewsToday