Pilih Bahasa

ANGGOTA SUKARELAWAN APM DIPERCAYAI DIBAHAM BUAYA DI SUNGAI KINABATANGAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Abdul Rahman Nor Sirat. – Gambar SNT / Ihsan APM Kinabatangan

KINABATANGAN: Hasrat seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang keluar menjala udang bertukar tragedi apabila mangsa dipercayai dibaham buaya di Sungai Kinabatangan, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu mangsa dikenal pasti sebagai Abdul Rahman Nor Sirat, 40, dilaporkan hilang selepas disyakit diserang reptilia berkenaan di sungai itu yang terletak berhampiran kawasan Tanjung Bulat, dekat sini.

Ketua Pegawai APM Zon Sandakan, Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan terkini mengenai kehilangan mangsa yang dikatakan keluar menjala udang seorang diri.

“Bagaimanapun, pihak APM sudah ke lokasi kejadian bagi mengikuti operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota sukarelawan APM yang hilang di Sungai Kinabatangan. – Gambar SNT/Ihsan APM Kinabatangan

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Dua BBP Kinabatangan, David Wong berkata seramai empat anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer menggunakan sebuah jentera bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Menurutnya anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima laporan menerusi talian kecemasan 999 pada pukul 8.44 malam daripada orang awam berkaitan kejadian terbabit.

David berkata setibanya di tempat yang dimaklumkan, pihaknya bertindak mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan seterusnya  menjalankan operasi pencarian secara pemantauan daripada tebing sungai. 

Menurutnya, operasi pencarian ditangguh kirakira pukul 10.35 malam semalam dan diteruskan hari ini. – SabahNews Today