Pilih Bahasa

Anifah Aman hadapi empat penjuru di Bongawan, Salleh Said Keruak tiga penjuru di Usukan

Datuk Seri Anifah Aman. – Bernama

KOTA KINABALU, 12 Sept — Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bekas menteri luar itu dicabar penyandang kerusi DUN Bongawan Dr Daud Yusof dari Parti Warisan Sabah (Warisan) selain Ag Syairin dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).

DUN itu mempunyai 16,735 pengundi.

Datuk Seri Salleh Said Keruak. – Bernama

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Daud memperoleh 6,912 undi menewaskan calon BN Datuk Mohamad Alamin (6,117 undi) dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (627 undi).

Sementara itu, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mewakili BN, akan bertanding di kerusi DUN Usukan, ditentang dua pencabar lain membabitkan bekas calon kerusi tersebut pada PRU14, Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan calon PCS, Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas.

Pada PRU14, kerusi  tersebut  dimenangi Datuk Japlin Akim (BN) yang mendapat 8,738 undi, menewaskan Abdul Bahkrin (7,513 undi), calon PAS Adzmin Awang (355) dan calon Bebas, Amsor Tuah (70 undi).

DUN Usukan kini mempunyai 16,883 pengundi.

–BERNAMA