Pilih Bahasa

ANITA BUAT KEPUTUSAN DEMI KEPENTINGAN RAKYAT: MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin penyertaan beberapa beberapa pemimpin politik ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah kerana keikhlasan mereka yang ingin melihat perpaduan dalam parti berasaskan tempatan di Sabah.

Mohd Shafie yang mengalu-alukan kemasukan bekas Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek, Datuk Anita Baranting ke dalam Warisan berkata beliau pasti keputusan itu dibuat atas dasar kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.

Mohd Shafie dalam sidang akhbar menerima Anita masuk ke dalam Parti Warisan Sabah di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Saya mengenali Anita sudah lama sejak saya di kementerian Pusat dahulu lagi. Beliau sering datang berjumpa saya dan merayu bagaimana untuk memajukan kawasannya. Ini bermakna beliau meletakkan kepentingan rakyat di atas.

“Namun apa yang penting kepada kita sebagai ahli politik, kita tumpukan banyak masa supaya keadaan masyarakat di peringkat akar umbi dapat dibela sebagai mungkin dengan menyediakan kemudahan asas dan pelbagai perkhidmatan yang termampu.

“Saya tidak mahu janji apa yang kita tidak boleh bagi, bulan dan bintang… tapi kita bangunkan Sabah dan kita bantu rakyat Sabah serta kita pertahankan hak-hak Sabah. Ini menjadi perjuangan kita,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan penyertaan Anita bersama 50 bekas ahli PBS, Umno dan MIC bahagian Tandek ke dalam Warisan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menjelaskan kerajaan negeri pimpinan Warisan bersama PKR, Dap dan Upko mempunyai hala tuju yang jelas untuk memajukan negeri ini dan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah.

Tambah beliau lagi pendekatan yang digunakan oleh kepimpinan baharu negeri ini menepati landasannya sebagai parti tempatan untuk memajukan Sabah selain mengurangkan karenah `politiking’.

Katanya rakyat sudah lama dahagakan pembangunan yang lebih lestari daripada kerajaan, justeru sebagai pemimpin mereka harus mempertingkatan perkhidmatan dari masa ke semasa agar apa yang diusahakan oleh kerajaan kini mampu direalisasikan. – SabahNewsToday