Pilih Bahasa

Anjur kempen kesihatan elak golongan pelajar hadapi tekanan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Program menangani tekanan dalam kalangan pelajar di negeri ini disambut baik karajaan negeri sebagai usaha melahirkan golongan muda sihat secara keseluruhan.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang berkata inisiatif seumpama itu penting buat pelajar masa kini disebabkan generasi pelajar masa kini melalui pelbagai program pendidikan.

Jenifer (tiga dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain dan pelajar SM St Michael sempena Majlis Pelancaran Kempen Pendidikan Kesihatan di Penampang. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Jenifer berkata kesihatan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal semata-mata tetapi secara menyeluruh.

“Ketagihan teknologi antara perkara sedang berlaku dalam kalangan anak muda kita khususnya pelajar.

“Kita tidak mengatakan gajet atau teknologi ini memberikan keburukkan sepenuhnya tetapi penggunakan peranti haruslah mempunyai had agar tidak menjadi ketagihan pelajar.

Jenifer (tiga dari kiri) melihat banner sempena Majlis Pelancaran Kempen Pendidikan Kesihatan di Penampang. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Hakikatnya kita tidak boleh lari daripada menggunakan gajet kerana sistem pembelajaran alaf 21 juga menekankan penggunaan peralatan seumpama ini dalam pembelajaran cuma ia perlu dipantau.

“Ibu bapa khususnya harus pasti memantau anak masing-masing supaya mereka hanya perlu melayari atau mendapatkan maklumat yang berguna sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Pendidikan Kesihatan, dekat sini, hari ini.

Mula dilaksanakan di sekolah dalam daerah Penampang, program anjuran KPJ Sabah Specialist Hospital, kempen berkenaan mensasarkan penglibatan kira-kira 70 sekolah dan 20 taska di seluruh negeri.

Jenifer (tiga dari kanan) menerima plak sempena Majlis Pelancaran Kempen Pendidikan Kesihatan di Penampang. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dalam pada itu, Jenifer berkata pelaksanaa  kempen kesihatan di sekolah adalah pemilihan lokasi terbaik kerana semua pendidikan bermula di institusi pendidikan seperti tadika, taska, sekolah rendah dan menengah.

“Kita harus bermula daripada pelajar sekolah kerana ia lebih sistematik untuk kita mengumpul maklumat dan pelaksanaan sesuatu program.

“Selain itu, kita sedar bukan semua pelajar mampu mengikuti program kesihatan berbayar di luar tetapi penganjuran di sekolah membolehkan semua pelajar dilayan sama rata dan tiada perbezaan.

“Penganjuran program kesihatan di sekolah juga pastinya membolehkan semua informasi yang pelajar perolehi dibawa balik ke rumah untuk disebarkan kepada keluarga dan komuniti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Jenifer berkata langkah mengatasi tekanan bagi pelajar juga penting kerana golongan berkenaan perlu berhadapan dengan ujian serta peperiksaan, perlu menyiapkan tugasan sekolah, harapan tinggi ibu bapa dan sekolah selain tekanan faktor lain di luar skop pelajaran.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu pelajar sehingga hilang fokus hanya disebabkan tekanan yang dihadapi mereka. -SabahNews Today

-Tamat-