Pilih Bahasa

Anugerah bakar semangat Tambadau Sabah beraksi lebih cemerlang

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Anugerah Pemain Terbaik Liga Premier PFAM – asiana.my bulan Februari 2019 bakal membakar semangat skuad Tambadau Sabah beraksi lebih cemerlang.

Penerima anugerah, Luka Milunovic menyifatkan pemilihannya itu sebagai kejayaan bersama rakan sepasukannya.

Luka Milunovic, Pemain Terbaik Liga Premier PFAM-asiana.my bulan Februari 2019. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Sudah semestinya anugerah ini menyuntik semangat bagi saya memberi persembahan terbaik.

“Saya juga akan bermain bersungguh-sungguh supaya dapat membantu rakan-rakan pasukan yang lain untuk memenangi anugerah ini bulan yang akan datang,” katanya.

Pemain import dari Serbia itu ditemui selepas menerima hadiah dan anugerah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail di Stadium Likas petang tadi.

Milunovic menerima anugerah daripada Izham. Gambar SNT/Chris Maskilone

Milunovic merupakan pemain ketiga Sabah dipilih pemain terbaik bulanan Liga Premier sejak ianya diperkenalkan.

Musim lalu dua pemain Sabah telah memenangi anugerah bulanan tersebut iaitu penjaga gol Robson Rendy Rining (Februari) dan Hector Ramos (Jun).

Pemain berusia 26 tahun dari Serbia itu mendapat 1,956 undi (48.51 peratus) mengatasi empat calon lain iaitu penyerang JDT II Mohammed Ghaddar (959 undi), Adi Said (UiTM FC – 599 undi), Ramzi Sufian (TFC II – 390 undi) dan Raslam Khan (Selangor United – 128 undi).

Milunovic adalah kesebelasan utama dalam semua enam perlawanan Liga Premier setakat ini dan merupakan pendahulu senarai penjaring Tambadau Sabah dengan sumbangan tiga gol.

Sementara itu, Izham berkata PFAM gembira dapat melihat pasukan Sabah dan juga para pemain terus memberi yang terbaik setiap bulan.

“Kita harapkan pemain Sabah terus memberikan persembahan yang terbaik di peringkat liga dan di peringkat lain-lain.

“Kita berharap pasukan Sabah akan dapat terus maju ke hadapan dan pada tahun ini liga akan terus gemilang akan terus menarik untuk disaksikan,” katanya.

Anugerah kelolaan PFAM dan asiana.my ialah sebagai pengiktirafan kepada pemain yang telah menyumbang keringat dalam karier mereka dalam masa sama mewujudkan suasana persaingan yang positif.

Anugerah itu unik kerana penghargaan ini dianjurkan oleh para pemain, panel pemilih yang terdiri dari pengamal media memilih calon terbaik dan para penyokong mengundi untuk pemain pilihan mereka.

Penilaian akan dibuat oleh Jawatankuasa Pencalonan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM – asiana.my yang terdiri daripada pengamal-pengamal media sukan yang berpengalaman.

Undian boleh dibuat melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my yang terbuka kepada semua peminat bola sepak di seluruh negara.

Turut hadir Setiausaha Eksekutif David Wisom.-SabahNewsToday