Pilih Bahasa

Apa keperluan mendesak bina laluan keretapi Kudat-KK berharga RM5.2b: Abdul Rahman

KOTA KINABALU: Umno mempersoalkan cadangan Kerajaan Negeri untuk membina laluan kereta api dari Kota Kinabalu ke Kudat dengan kos RM5.2 bilion.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan negeri perlu perjelaskan apakah keperluan yang begitu mendesak untuk membelanjakan duit rakyat RM5.2b bagi projek tersebut.

Datuk Abdul Rahman Dahlan. Gambar Fail SNT

“Bukankah Lebuhraya Pan Borneo nanti akan ada? Itulah juga laluan Pan Borneo,” ujar Abdul Rahman.

Beliau berkata penumpang keretapi juga tidak ramai untuk menjadikan projek ini boleh-laksana atau feasible.

Kedua, jumlah kargo barang juga tidak banyak dari Kudat ke Kota Kinabalu.

“Kalau pun ada kargo, laluan jalanraya Pan Borneo nanti akan dapat menampung penambahan kargo itu.”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pembinaan laluan kereta api Kudat-KK seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony dalam sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Abdul Rahman turut berpendapat pembinaan laluan keretapi itu berkemungkinan besar bakal membawa lebih impak negatif daripada positif kepada Kudat.

“Kalaulah kerajaan negeri mempunyai dana RM5.2b yang boleh dibelanjakan, kenapa tidak memperbaiki bekalan air di seluruh Sabah?

“Bukankah itu lebih mendesak dan amat diperlukan oleh rakyat? Bukankah masalah bekalan air menjadi punca rungutan utama rakyat sekian lama ini?” soal beliau.

Menurutnya, dana RM5.2b itu boleh menampung dua empangan berharga RM4b seperti Empangan Papar yang berharga RM2b sebuah.

Baki RM1.2b boleh digunakan untuk mengganti paip-paip air usang dan yang bocor, ujarnya.

Ataupun, sebanyak 65,625 buah rumah mampu milik berharga RM80,000 sebuah boleh dibina untuk rakyat Sabah menggunakan dana RM5.2b itu.

“Saya berharap kerajaan akan bagi keutamaan kepada perkara yang lebih mendesak kepada rakyat,” katanya.-SabahNewsToday