Pilih Bahasa

APM SANDAKAN KENANG JASA ANGGOTA SUKARELAWAN MAUT DIBAHAM BUAYA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Pegawai dan anggota APM melawat isteri dan keluarga Allahyarham Abdul Rahman Nor Sirat. – Gambar SNT/ Ihsan APM Sandakan

SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Zon Sandakan hari ini mengadakan kunjungan ke kediaman anggota sukarelawan APM yang maut dibaham buaya minggu lalu.

Kunjungan ke rumah Allahyarham Abdul Rahman Nor Sirat, 40, itu diketuai oleh Ketua APM Zon Sandakan, Ahmad Roslan Mohd Kamel bersama tujuh pegawai serta 30 anggota.

Ahmad Roslan berkata tujuan lawatan berkenaan adalah bagi memberikan sokongan moral kepada balu mangsa dan menzahir rasa simpati daripada pengurusan tertinggi APM ke atas kejadian yang menimpa mangsa.

Dalam kunjungan itu beliau turut menyampaikan sumbangan daripada  pegawai dan anggota APM Zon Sandakan kepada balu mangsa.

Ketua APM Zon Sandakan, Ahmad Roslan Mohd Kamel (tengah) menyerahkan sumbangan kepada isteri serta keluarga Allahyarham Abdul Rahman Nor Sirat. – Gambar SNT/ Ihsan APM Sandakan

Dalam pada itu, Ahmad Roslan berkata Allahyarham Abdul Rahman adalah seorang anggota penyelamat terlatih dan banyak meluangkan masa memberi khidmat kepada penduduk sekitar Kinabatangan sepanjang dua tahun berkhidmat.

Menurut beliau lagi pihaknya menggerakkan pasukan penyelamat APM terdiri daripada anggota pakar khusus menyelamat di air pada hari kejadian dan pasukan berkenaan berjaya mengesan serta menemui mangsa dalam keadaan beberapa anggota badannya hilang. 

“Kita bersama anggota polis bersenjata api juga terpaksa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengusir buaya yang berada dengan mayat mangsa.

“Semangat kesukarelawan seumpama ini seharus dijadikan penanda aras kepada golongan muda untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya.

Allahyarham Abdul Rahman ditemukan di tepi Sungai Kinabatangan, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu sebelum dijumpai keesokkan harinya. – SabahNews Today