Pilih Bahasa

APMM hulur sumbangan makanan kepada penduduk Kampung Sinakut

Oleh Junaidi Ladjana

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pos Maritim Felda Sahabat, menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk di Kampung Sinakut, Tungku, pagi tadi.

Sumbangan disampaikan Ketua Pos Maritim Felda Sahabat, Leftenen Madya Maritim R Neelamegand mewakili Pengarah APMM Zon Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Salah satu penduduk Kampung Sinakut, Tungku menerima bantuan makanan dari APMM. Gambar SNT/Ihsan APMM

Majlis penyampaian turut dihadiri pegawai dan anggota APMM selain penduduk kampung dan Imam Rawatib Kampung Sinakut, Ustaz Mumin Ab Lala.

Abdul Muhaimin berkata program berkenaan dilaksanakan kerana memahami kesukaran penduduk di kampung berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan.

Katanya ini berikutan kedudukan kampung di kawasan pedalaman selain kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan pesisir pantai serta bergantung kepada pendapatan harian.

Pegawai dan anggota APMM Zon Lahad Datu menghulurkan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Kampung Sinakut, Tungku. Gambar SNT/Ihsan APMM

“Disebabkan faktor kedudukan kampung yang jauh di pedalaman, ia menyukarkan penduduk kampung mendapatkan bekalan makanan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Sumbangan yang diberikan ini diharap dapat menjalinkan hubungan silaturahim yang erat antara APMM dan komuniti di Daerah Kecil Tungku,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata sumbangan makanan yang disampaikan adalah seperti beras, minyak masak, tepung dan keperluan makanan lain diagihkan kepada 20 keluarga di kampung berkenaan.

“APMM tidak lupa akan nasib mereka yang sukar mendapatkan bekalan makanan terutamanya dalam tempoh PKP ini.

“Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan golongan berpendapatan rendah pada Ramadan ini,” katanya. – SabahNewsToday