Pilih Bahasa

APMM tahan 14 individu ceroboh kawasan pelantar minyak

Oleh Junaidi Ladjana

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia (APMM) Labuan menahan seramai 14 individu yang menaiki sembilan bot nelayan kerana menceroboh kawasan pelantar minyak Kikeh, di sini kelmarin.

Dua bot induk dan tujuh bot kecil ditahan bot ronda APMM Labuan, jam 8.20 malam ketika sedang memancing ikan dalam kawasan pelantar minyak pada kedudukan 60 batu nautika dari barat laut pulau Labuan.

Seramai 14 individu bersama bot mereka ditahan dan dibawa ke jeti APMM Labuan untuk tindakan lanjut. Gambar SNT/Ihsan APMM Labuan

Pengarah APMM Zon Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata ketika kejadian bot ronda yang sedang melakukan Op Pelantar mengesan semua bot berkenaan menceroboh kawasan larangan dan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan.

Katanya ketika pemeriksaan dilakukan mendapati dua bot nelayan terbabit sedang bertambat pada hos minyak pengeluaran penyimpanan dan pemunggah apungan (FPSO) Kikeh sebagai bot induk manakala tujuh lagi bot kecil sedang melakukan aktiviti memancing berhampiran dengan bot induk.

“Terdapat 14 orang berada di atas bot-bot berkenaan dan daripada jumlah itu didapati dua adalah warga tempatan manakala 12 lagi berasal dari Filipina iaitu tiga pemastautin tetap, lima pemegang kad IMM13, seorang memiliki sijil lahir dan tiga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Kakitangan Kesihatan Labuan lengkap menggunakan PPE memeriksa individu yang ditahan kemudian menjalankan proses nyahkuman ke atas bot bagi mencegah Covid-19. Gambar SNT/Ihsan APMM Labuan

“Semua tangkapan berusia 14 hingga 71 tahun ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Labuan, untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1 1962/60 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.

Menurut Nor Bakari, orang ramai diminta supaya menjauhi kawasan pelantar minyak kerana sebarang aktiviti yang dilakukan dalam kawasan 500 meter radius boleh membahayakan nyawa yang berada di situ.

“APMM pernah menerima aduan dari pekerja pelantar memaklumkan terdapat bot nelayan yang memasak ketika menangkap ikan dalam kawasan pelantar.

“Jelas sekali, tindakan sebegini amat merbahaya kepada pelantar, pekerja pelantar dan juga nelayan,” katanya.

Sementara itu, semua yang ditahan diberi saringan ujian Covid-19 dan bot-bot terbabit dijalankan proses nyahkuman oleh Jabatan Kesihatan Labuan.

Turut hadir memantau prosedur saringan di jeti iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah. – SabahNewsToday