Pilih Bahasa

ARAHAN KETUA MENTERI WUJUDKAN PANGKALAN DATA BURUH ASING TEPAT – MOSITUN

PAPAR: Pangkalan data yang komprehensif adalah penting bagi Sabah untuk pengurusan buruh asing secara berkesan, kata Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun.

Beliau berkata ini seterusnya dapat membantu mengurangkan kadar jenayah serta masalah sosial yang mengancam keselamatan dan juga kemungkinan penyalahgunaan kuasa.

Datuk Johnny Mositun. Gambar Fail SNT

Sehubungan itu, beliau berkata arahan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi Kementerian Perdagangan dan Industri untuk mengumpul data mengenai bilangan pekerja diperlukan oleh setiap industri di negeri ini amat bertepatan.

Mohd Shafie mengeluarkan arahan itu pada Jumaat semasa lawatannya ke Keningau di mana beliau juga menekankan bahawa buruh asing dan pendatang tanpa izin adalah dua isu yang berbeza dan perlu ditangani secara berasingan.

Mositun yang juga adalah Ketua Bahagian PBS Pantai Manis berkata dengan adanya pangkalan data yang tepat, agensi kerajaan termasuk agensi keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang dapat berkongsi maklumat untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

“Penjelasan Ketua Menteri bahawa langkah mendokumentasi pekerja asing tidak sama dengan mengeluarkan kad pengenalan Malaysia atau pemberian kewarganegaraan juga harus diambil perhatian.

‘Kedua-duanya harus dipisahkan manakala pihak berkuasa berkenaan harus dibenarkan menjalankan tugas masing-masing tanpa sebarang halangan. Ini secara tidak langsung membawa kepada pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan,” kata Mositun.

Beliau juga berkata isu buruh asing menjadi begitu rumit dan mengelirukan kerana ia telah lama dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.

Mositun yang tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak mengenai perkara tersebut seterusnya berkata bahawa dengan adanya pangkalan data yang lengkap ianya akan membantu mengawal sepenuhnya masalah tenaga pekerja asing dan imigresen.

“Kedua-dua isu ini saling bersangkut paut. Semua kita tahu tentang kuasa imigresen negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah MA63 tetapi Kerajaan Negeri juga harus prihatin terhadap kewibawaan Ordinan Buruh kita sendiri dan memastikan bahawa enakmen yang didapati mengurangkan kuasa penuh atas isu buruh akan dipinda demi kebaikan semua,” kata Mositun.

Beliau turut berpendapat bahawa hak pengawalan pengambilan buruh asing sepatutnya diletakkan di bawah kuasa Jabatan Tenaga Kerja Negeri.

“Kita tahu keperluan buruh kita, tidak ada keperluan untuk Kerajaan Persekutuan terlibat atau melantik agen. Jabatan Tenaga Kerja kita sendiri boleh melakukannya dan levi begitu juga cukai ke atas pekerja asing haruslah dijadikan sebagai hasil negeri,” katanya.

Mositun mendakwa bahawa prosedur pengambilan pekerja asing sekarang sebenarnya menggalakkan rasuah, pengambilan untung berlebihan, ketidakcekapan dan eksploitasi.

Beliau berkata Ketua Menteri mesti menangani kesemua perkara ini yang menambah kos terhadap pengambilan pekerja asing.

“Dewan Rakyat juga sedang mempersiapkan undang-undang untuk kerajaan memegang 20 peratus daripada gaji pekerja asing sehinggalah mereka kembali ke negara asal.

“Bagaimana ini memberi kesan kepada pekerja asing yang kebanyakannya bergaji rendah, belum lagi kita diketahui, jadi adalah lebih baik bagi kita untuk bersedia.

“Pada dasarnya, Sabah haruslah mengendalikan hal ehwal buruhnya sendiri,” kata Mositun.-SabahNewsToday