Pilih Bahasa

Arifin sambut baik usaha bangunkan semula industri nasyid

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan Pusat untuk membangunkan semula industri nasyid di negara ini wajar disokong semua pihak.

Wakil Rakyat Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Arif ketika memberi maklum balas cadangan ini berkata nasyid merupakan satu cabang dakwah dan pendidikan yang mampu menjana pembangunan modal insan cemerlang dari sudut minda dan akhlak.

Datuk Mohd Arifin Arif. Gambar Fail SNT

Katanya negeri Sabah merupakan antara negeri yang giat aktif melestarikan kegiatan atau pertandingan nasyid sebelum ini malah pernah muncul beberapa kali sebagai johan dalam pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan.

“Kita menyambut baik cadangan ini memandangkan nasyid selain unsur kesenian Islamnya, melalui nasyid juga dakwah dan pendidikan dapat disampaikan,” katanya ketika ditemui di sini sebagai mengulas cadangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakari kelmarin yang mencadangkan agar industri nasyid di negara ini dibangunkan semula.

Menurut Dr Zulkifli cadangan tersebut akan dibangunkan membabitkan stesen TV Al-Hijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Nasyeed.Com dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Creative Dakwah Club.

Menurut Arifin yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kimanis usaha ini sudah pasti menyemarakkan semula kegiatan nasyid yang agak suram kebelakangan ini.

Katanya di Sabah sahaja ramai tokoh-tokoh penggiat dan penyanyi nasyid yang berkelibar dan telah mencipta nama di peringkat negeri dan kebangsaan.

Menurut beliau tokoh-tokoh seperti Datuk Jalidar Abdul Rahim, Hj Jafrey Siman, Hj Harun Ali, Mas Awang Hashim, Dgn.Nurliza Amin, Adi Pating, Adi Shalai Mohamad Ali dan lain lain adalah antara pengiat seni nasyid di negeri ini yang banyak memberikan sumbangan terhadap pembangunan seni nasyid di negara ini.

“Pengalaman mereka boleh kita manfaatkan untuk mengembalikan kecemerlangan seni nasyid di negeri ini khususnya memberikan latihan dan bimbingan kepada generasi baharu agar kegiatan seni nasyid ini tidak pupus,” jelas Arifin.

Sambil berharap cadangan ini dapat disegerakan, Arifin berkata seiring dengan perkembangan semasa dan perkembangan muzik digital masa kini yang menjadi pemangkin kepada penggiat seni nasyid berkarya dengan lebih kreatif .

“Sudah tentu usaha ini selain menyemarakkan semula seni nasyid tanah air ianya juga dapat menyumbang kepada dakwah, pendidikan dan keseimbangan psikospiritual masyarakat, terutama dalam norma baharu yang sedang kita hadapi ketika ini,” katanya.

CAPTION: ARIFIN ARIF