Pilih Bahasa

Armada Bersatu Sabah akan pastikan tiada tembok pisahkan perjuangan orang muda, kerajaan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Syed Saddiq (tengah) bergambar bersama Ketua Penaja Armada Sabah pada majlis penyampaian watikah Ketua Penaja Armada BERSATU Negeri Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 24 Ketua Penaja Armada Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menerima watikah pelantikan secara rasmi yang disampaikan oleh Ketua Armada Pusat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Mereka ialah Ketua Penaja Armada Sabah yang juga mengetuai Armada Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit; Ceaser Mandela Malakun (Penampang), Azrul Ibrahim (Papar), Mohamad Ghazali Hajiji (Tuaran), Kahazaruddin Kahar (Tawau), Kamarul Anuar Ahmad (Kota Marudu), Fairuzz Renddan (Kota Belud), Abqaree Fawwaz Abekan ((Sepanggar) dan Mohd Fakhruz Zaman Arsit (Kota Kinabalu).

15 lagi bahagian iaitu Kimanis diketuai oleh AK Jamaluddin Pg Mohd Yassin, Mohd Shahril Osin (Beaufort), Zulhuzaimi Hassan (Sipitang), Maxley Edwind Marom (Tenom), Rafie Robert (Keningau), Awang Azuan Pangiran Hamzah (Pensiangan), Rosdi Abd Ghani (Ranau), Fariz Fadila Ag Kamarudin (Sandakan), Sholehuddinulfatih Mardin (Libaran), Johainizamshah Johari (Kinabatangan), Zainuddin Sabu (Beluran), Rozaizar Rozainie (Batu Sapi), Azrul Arosa (Semporna), Mohd Norazri Hassan (Silam) dan Mohamad Khairuz Azrin Ismail (Kalabakan).

Syed Saddiq (dua dari kanan) menyerahkan watikah kepada Ketua Penaja Armada Bersatu Bahagian Tuaran, Mohamad Ghazali. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu Syed Saddiq berkata pelantikan rasmi Armada Bersatu Sabah mampu membawa suara orang muda khususnya di negeri Bawa Bayu itu untuk didengari dan diambil perhatian oleh pemimpin peringkat atasan parti serta kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata Armada Bersatu negeri itu akan merancakkan lagi aktiviti dalam usaha mendekati, berkhidmat dan bekerja untuk memastikan tidak ada tembok yang memisahkan perjuangan mereka dengan rakyat jelata.

“Saya berbangga dengan Bersatu Sabah khususnya Aramada Sabah kerana tetap dengan gerak kerja walaupun pada peringkat awal mereka tidak bergerak secara rasmi.

“Kita meletakkan sasaran seramai 100,000 ahli Armada Bersatu Sabah dapat dikumpulkan selepas pelantikan ketua-ketua Armada bahagian ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Watikan Pelantikan Armada Bersatu Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Penyelaras Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Timbalannya, Datuk Masidi Manjun.

Syed Saddiq berkata proses pelantikan watikan Armada Bersatu diseluruh negara hampir selesai namun setakat ini hanya Sarawak yang belum dirasmikan. – SabahNewsToday