Pilih Bahasa

Armada Bersatu Sabah sambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Armada Bersatu (Armada) Sabah menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Terdahulu, saya bagi mewakili Armada Sabah ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas pengumuman pakej yang diumumkannya pada 27 Mac lalu merangkumi kesemua lapisan masyarakat sejajar dengan slogan “no one left behind,”” kata Timbalan Ketua Armada Sabah, Ceasar Mandela Malakun.

Ceasar Mandela Malakun. Gambar Fail SNT

Melihat jumlah yang diperuntukkan iaitu sebanyak RM250 billion, Armada Sabah amat bersyukur kerana setiap pakej rangsangan yang diumumkan adalah berasaskan matlamat pertama iaitu untuk melindungi rakyat yang pada kala ini sedang berhadapan dengan satu krisis global yang tidak diduga, katanya dalam satu kenyataan.

Mandela yang juga Ketua Armada Penampang berkata sebagai sebuah organisasi belia, Armada Sabah amat berbesar hati kerana pakej rangsangan ini turut membantu para belia yang juga sedang menghadapi kesusahan pada ketika ini.

Antara inisiatif yang akan dapat membantu belia secara langsung adalah Bantuan Prihatin Tunai sebanyak RM250 kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas berpendapatan RM2001 hingga RM4000 sebulan; penangguhan bayaran balik 6 bulan untuk peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM800 kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2000 sebulan; bantuan RM200 seorang kepada pelajar pengajian tinggi; bantuan RM500 kepada pemandu E-hailing; internet percuma; dan lain-lain lagi.

‘Apabila kita meneliti intipati bantuan tersebut, kita mendapati bahawa banyak daripada golongan belia yang akan menikmati bantuan-bantuan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, katanya inisiatif lain yang diumumkan juga dapat sedikit sebanyak meringankan beban pelbagai lapisan masyarakat seperti dalam analogi Mak Cik Kiah yang digunakan oleh Perdana Menteri.

“Jaminan kerajaan terhadap sumber makanan yang sentiasa mencukupi juga sangat memberangsangkan dan sebagai rakyat Malaysia, kita tidak perlu terjebak dengan tabiat “panic buying.”

“Tambahan pula, peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) terutamanya juga tidak ketinggalan dan adalah diharap bahawa mereka menggunakan sebaik mungkin bantuan-bantuan yang bakal diberikan,” katanya.

Mandela berkata inisiatif pelaburan terus sebanyak RM2 billion ke atas projek-projek kecil seperti menambahbaik jalan raya, menaiktaraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersihkan rumah ibadat dan balai polis serta meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4 amat disambut baik Armada Sabah.

Menurutnya iniisiatif seperti ini tidak harus disalah faham kerana inisiatif sebegini dapat mewujudkan “economic spin-off.”

Apabila kontraktor dilantik bagi menjalankan sesuatu projek, mereka akan membeli bekalan daripada pembekal yang akan turut mendapat pendapatan dan boleh digunakan untuk menggaji pekerjanya, katanya.

Selain itu, pihak kontraktor juga dapat memberikan pekerjaan kepada golongan-golongan B40 di kawasan projek yang diumumkan, tambahnya lagi.

‘Sepanjang tempoh projek, pekerja akan membeli makanan dan minuman dan ini akan merangsangkan pertumbuhan ekonomi setempat. Inisiatif sebegini haruslah dirancakkan lagi terutama sekali apabila krisis yang dihadapi semakin reda.

“Kini, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat adalah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk di rumah,” katanya.

Mandela berkata seluruh lapisan masyarakat harus memainkan peranan dalam memerangi wabak Covid-19 ini.

“Kita tidak boleh sentiasa menuding jari kepada pihak kerajaan kita kerana tiada satupun kerajaan sebenarnya bersedia menghadapi krisis ini.

“Oleh itu, rakyat dan kerajaan haruslah bekerjasama dalam menghadapi krisis global ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Armada Sabah juga mengucapkan terima kasih kepada pekerja barisan hadapan – para doktor, jururawat, staf perubatan, polis, tentera, sukarelawan dan kesemua penjawat awam terutamanya pihak yang bertanggungjawab dalam menghasilkan Pakej Rangsangan ini.-SabahNewsToday