Pilih Bahasa

Armada Bersatu minat letak calon pada PRU15

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Syed Saddiq pada sidang media selepas aajlis penyampaian Watikah Ketua Penaja Armada Bersatu Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Armada Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak peranan `pak turut’ dalam kalangan ahli parti itu.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Bersatu mempunyai ruang dan peluang untuk diberikan para pemimpin muda seperti dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Dalam PRU-14 lalu terdapat lebih daripada 25 calon muda dan ramai daripada calon yang ditampilkan itu majoritinya daripada Bersatu berbanding parti lain.

“Bersatu adalah satu-satunya di antara parti komponen yang membenarkan belia menjadi sebahagian daripada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang merupakan kepimpinan tertinggi gabungan ini,” katanya.

Syed Saddiq (dua dari kanan) bersalaman dengan ketua-ketua Armada Bersatu Sabah yang hadir pada majlis penyampaian Watikah Ketua Penaja Armada Bersatu Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada Armada akan meletakkan calon untuk bertanding mewakili PH pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Terdahulu Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menyampaikan watikah pelantikan rasmi kepada seramai 24 Ketua Penaja Armada Bahagian Bersatu Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata perwakilan belia dalam Bersatu amat serius terhadap fungsi untuk memperkasakan peranan golongan muda selaku tulang belakang pembangunan negara.

Sehubungan itu Syed Saddiq menambah beliau ingin memastikan semangat golongan muda akan terus berkembang bukan hanya dalam Bersatu tetapi juga dalam PH itu sendiri. – SabahNewsToday