Pilih Bahasa

Armada Sabah sambut baik keputusan Dewan Rakyat turunkan had usia mengundi

KOTA KINABALU:  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) Sabah menyambut baik keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ketuanya, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah kemenangan kepada anak-anak muda di negara ini.

Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit . Ganbar Fail SNT

“RUU ini telah membuka ruang yang lebih luas kepada golongan muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara.

“Dengan lulusnya RUU itu, maka orang muda diberi lebih banyak peluang untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan politik dan tanggungjawab demokratik.

“Rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun kini boleh mencalonkan diri untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat selepas RUU itu diluluskan. Ini merupakan berita gembira kepada orang muda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam sejarah baharu tercipta apabila Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga, setelah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad.

RUU itu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima sokongan kesemua 211 Ahli Dewan Rakyat yang hadir, selepas dibahas oleh perwakilan daripada blok kerajaan dan pembangkang.

RUU berkenaan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak mengundi menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu turut bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Mohd Isquzawan berkata, lebih manis lagi ialah kini suara golongan muda dapat bergema di Parlimen dan luar Parlimen.

“Golongan muda mahu suara, pandangan dan masalah mereka didengar dan diambil tahu oleh pihak pembuat dasar, terutamanya Kerajaan”, tegasnya.-SabahNewsToday

Katanya, seperti yang telah dijelaskan oleh Perdana  Menteri. Tun Dr.Mahathir Mohamad, bahawa pindaan ini adalah bukti bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu “menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun” dan “pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara”.

Mohd Isquzawan optimis, harsat kerajaan terhadap RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 akan difahami, dihayati dan dijadikan budaya oleh golongan anak muda di Sabah.

“Walaupun bukan budaya anak muda seawal 18 tahun terlibat dalam politik, justeru kita perlu menerap dan siapkan diri mereka lebih awal dengan kepertanggungjawapan tersebut”, tambahnya.

Serentak itu beliau mengajak anak-anak muda di Sabah yang telah mencapai usia 18 tahun agar menyertai Armada Bersatu Sabah sebagai platform politik mereka.

“Armada Sabah sentiasa mengalu-alukan penyertaan anak-anak muda di Sabah termasuk golongan profesional bersama-sama berjuang bagi menyuburkan lagi demokrasi di negara ini”, tegas Mohd Isquzawan.

-End.

Gambar:

Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit