Pilih Bahasa

ASB SABAH RANCANG KEMBANG KE SEGMEN LNG

Gambar Bernama

LABUAN, 18 Mac (Bernama) — Syarikat berkaitan kerajaan Sabah, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), merancang meneroka ke segmen gas asli cecair (LNG), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Harris Annuar Tan.

Beliau berkata syarikat yang berpangkalan di Labuan itu telah bergiat dalam industri minyak dan gas selama 35 tahun dan merancang mengembangkan operasinya termasuk terlibat dalam pelabuhan menerima LNG.  

“Tidak diragui lagi, 35 tahun merupakan masa yang lama bagi ASB berada dalam industri dan kami telah membuat rancangan untuk menyertai industri LNG,” katanya pada majlis Makan Malam Penghargaan 35 Tahun Syarikat itu, malam tadi.

Syarikat tersebut ketika ini menumpukan kepada menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang dikhususkan kepada keperluan lebih daripada 100 syarikat minyak dan gas multinasional yang terlibat dalam aktiviti eksplorasi, pembangunan dan pengeluaran. 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata ASB berjaya mengharungi perubahan tidak menentu ekonomi sepanjang 35 tahun lepas di samping mengekalkan imej bereputasinya hasil daripada pengurusan profesional dan cekap syarikat itu.  

“Walaupun industri minyak dan gas berada dalam keadaan tidak menentu berikutan penurunan harga minyak global yang menjejaskan ekonomi Labuan, namun ASB berjaya mengharungi keadaan sukar itu dan terus kekal berada dalam industri,” katanya dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Madius Tangau pada majlis tersebut. 

Shafie berkata ini menyebabkan pelabur kekal yakin dengan ASB dan terus menerima dividen.

“Saya sedar bahawa semasa keadaan kegawatan itu, pemain industri terjejas teruk dengan kebanyakan syarikat terpaksa memberhentikan pekerja.

“Bagaimanapun, lain ceritanya dengan ASB, kerana syarikat itu mampu berdepan dengan cabaran tanpa perlu memberhentikan pekerjanya,” katanya.

Dengan pencapaian luar biasa ini, Shafie berkata kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik bagi menyokong rancangan pembangunan masa depan ASB. 

“Saya berharap ASB akan terus mengekalkan dan menambah baik reputasinya dan membantu pertumbuhan ekonomi Labuan,” katanya.

— BERNAMA