Pilih Bahasa

Asfar nafi ‘hambur wang’

Oleh Sabah News Today

TAWAU: Mohd Asfar Abd Latif, calon parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N.71 Tanjung Batu menafikan mesej tular mendakwa dirinya melaksana program ‘menghambur wang’ membantu rakyat.

Bercakap ketika sidang media di sebuah restoran di sini hari ini, Asfar mengesahkan kesemua mesej yang tular berkenaan adalah palsu dan bersifat cuba menjatuhkan dirinya dan parti Warisan.

Asfar ketika sidang media. Gambar SNT

“Dua kali sudah saya kena, mereka cakap tak payah jumpa jentera, saya akan selesaikan bil air dan elektrik, itu bukan saya yang buat, itu propaganda, cyber troopers yang buat, supaya rakyat benci pada kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata penduduk yang menerima mesej berkaitan adanya program bantuan yang akan ditanggung oleh Asfar agar tidak mempercayainya.

“Sekarang tular mesej berkaitan saya mahu memberi sumbangan minyak petrol untuk motosikal dan kereta di Stesen Minyak Petronas, dari jam 2 semalam hingga sekarang saya asyik di tanya.

“Sebab itu jentera kita telah tampil membuat laporan polis untuk tindakan bahawa kita tidak ada mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya lagi.

Asfar turut mendedahkan seramai empat orang mangsa turut menghubungi dirinya untuk memaki susulan tertipu dengan mesej tular itu.

“Saya sendiri terpaksa berjumpa pemilik stesen minyak di Kampung Jaaa dan Hilltop untuk meminta maaf kepada pemilik atas kesulitan yang mereka hadapi,”katanya.

Sementara itu Asfar yang akan ditentang lima calon pesaing bagi kerusi Dun N. 71 Tanjung Batu akan berusaha membawa aspirasi suara golongan muda untuk diketengahkan ke peringkat atasan.

“Selain melihat isu keperluan golongan muda di kawasan ini terutamanya meneroka peluang pekerjaan yang boleh dibangunkan, kemudahan prasarana asas juga masih menjadi fokus utama,” katanya lagi.-SabahNewsToday