Pilih Bahasa

Sektor pelancongan mampan perlukan aspek keselamatan dipertingkat: Mohd Shafie

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mohd Shafie (kiri) menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Pembangunan Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Faktor keselamatan di daerah ini perlu dipertingkatkan selaras dengan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan yang kini begitu menggalakkan apabila berjaya menarik ramai pelancong luar negara berkunjung ke pulau percutian di Semporna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah yang perlu diambil oleh pihak berkuasa berkaitan soal keselamatan adalah dengan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melanggar undang-undang khususnya pada waktu perintah berkurung. 

“Saya dapati bahawa pertumbuhan sektor pelancongan di negeri kita amat menggalakkan dan saya yakin bahawa sumbangan sektor ini dapat ditingkatkan.

Mohd Shafie (enam dari kiri) bersama isteri Datin Seri Suryani Shuib (tujuh dari kiri) menunjukkan isyarat bagus selesai majlis pecah tanah Projek Pembangunan Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Namun, jika ada yang melanggar perintah berkurung, tindakan tegas terhadap pesalah perlu diambil oleh pihak keselamatan untuk kita beri amaran supaya mereka (pesalah) tahu negara kita tidak mudah dibolosi. 

“Jangan ada sifat kasihan tetapi perlu kenakan tindakan tegas kepada mereka tidak kira dia warganegara atau anak orang tempatan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah Tanah Projek Pembangunan Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna di sini hari ini. 

Mengulas mengenai program berkenaan beliau menerima baik inisiatif yang diambil pemain industri di daerah ini dalam menjana ekonomi khususnya dalam sektor pelancongan.

Mohd Shafie (kiri) isyarat bagus selepas majlis pecah tanah Projek Pembangunan Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Mohd Shafie berkata Semporna adalah destinasi pelancongan yang popular di Sabah, justeru pembinaan hotel bertaraf lima bintang yang menelan belanja lebih RM100 juta dan dilengkapi dengan 240 bilik itu sudah pasti dapat memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat. 

Tambah beliau lagi sektor perhotelan bukan sahaja memainkan peranan menyumbang ke arah ekonomi negara tetapi juga memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai khususnya golongan belia tempatan.

Sementara itu, Pengarah Seafest Sdn Bhd, Jane Chua berkata pembinaan rangkaian hotel syarikat berkenaan selaras dengan hala tuju dasar ekonomi negari ke arah industri dan pelancongan.

Kawasan tapak pembinaan projek pembangunan Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna. – Gambar SNT/Ihsan JKM

“Ia bukan sesuatu hal yang mudah tetapi dengan panduan yang jelas daripada kerajaan negeri dan bantuan pihak berkuasa tempatan, akhirnya ia dapat dilaksanakan. 

“Pada masa kini kira-kira 50,000 pelancong melawat Semporna dalam sebulan dan ini telah membawa pertumbuhan ekonomi domestik tahun demi tahun,” jelasnya. – SabahNewsToday